Kereta rempuh tembok jalan
Keadaan kereta Toyota Vios yang di pandu Soon Hup
Kereta rempuh tembok jalan
Soon Hup maut di tempat kejadian selepas kereta Toyota Vios yang dipandunya merempuh tembok jalan dan tiang lampu di Parit Pulai, Jalan Abdul Rahman, malam kelmarin
MUAR – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya merempuh tembok jalan dan tiang lampu di Parit  Pulai, Jalan Abdul Rahman, malam kelmarin.
Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, mangsa, Chia Soon Hup, 31, meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala dan anggota badan lain.
Soon Hup memandu sendirian kereta Toyota Vios dari Parit Jawa menghala ke Muar, dikatakan mahu berjumpa rakannya di bandar ini.
Bagaimanapun, setiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan masuk laluan bertentangan serta merempuh  tembok jalan di kawasan selekoh sebelum melanggar tiang lampu.
Akibat rempuhan itu, kereta mangsa remuk di bahagian hadapan dan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.
Pegawai Operasi Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa.
“Ketika operasi menyelamat dilakukan, mangsa sudah tidak bernyawa.
“Mangsa dipercayai mengalami kecederaan teruk di kepala setelah terhantuk dengan kuat di bahagian stereng.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.