BESUT - Seorang kanak-kanak lelaki dua tahun ditemui mati lemas dalam tali air sebuah bendang padi setelah keluar dari rumahnya di Kampung Padang Luas Dalam tanpa disedari oleh keluarganya di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Zakaria berkata mayat kanak-kanak itu Ahmad A’Fi Naqib Supian ditemui tersangkut di tali air itu kira-kira satu kilometer dari tempat dia dipercayai terjatuh pada kira-kira pukul 4 petang.
"Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam tali air sedalam kira-kira 1.5 meter yang terletak beberapa meter sahaja dari rumahnya yang ketika itu airnya mengalir deras bagi tujuan pengairan ke sawah padi," katanya kepada pemberita di sini.
Kamaruddin berkata mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Daerah Besut untuk bedah siasat.
Sementara itu bapa kanak-kanak itu, Supian Sulaiman, 30, ketika ditemui di rumah mayat hospital tersebut berkata isteri dan ibunya yang berada di rumah tidak menyedari sama sekali semasa anak sulungnya itu keluar dari rumah.
"Isteri dan ibu saya mula menyedari kehilangan Ahmad A'Fi Naqib kira-kira pada pukul 2 petang dan telah meminta pertolongan jiran dan penduduk kampung untuk sama-sama mencari," katanya.
Ketika kejadian dia tiada di rumah, katanya.
Supian yang bekerja sendiri berkata mayat anaknya akhirnya ditemui tersangkut di tali air itu oleh adiknya Zulkifli, 16, selepas kira-kira dua jam mencarinya. - Bernama