Hentak ibu dengan kerusi
Kakitangan Pembela BN termasuk Pengarahnya, Amir Hamzah Aziz (kanan) melihat kecederaan dialami Maimon yang dipukul dengan dengan kerusi oleh anaknya sendiri.
Hentak ibu dengan kerusi
Maimon
AYER KEROH – Hanya kerana tidak dapat baju raya, seorang anak yang mengalami masalah mental bertindak memukul ibunya dengan kerusi sehingga cedera.
Kejadian berlaku Jumaat lalu apabila anak berusia 33 tahun itu bertindak ganas selepas ibunya tidak dapat memenuhi permintaan membeli pakaian raya berikutan kemiskinan.
Ibu terbabit, Maimon Ariffin, 54, dari Jalan Desa Seri Merbau, Jasin, berkata, kejadian berlaku kira-kira 12 tengahari apabila anaknya itu mengambil sebuah kerusi, lalu mengentaknya di kepala.
“Sebaik dia memukul kepala saya dengan kerusi, saya terus rebah ke lantai dan rasa hendak pitam. Saya nampak anak saya sekali lagi mahu memukul buat kali kedua, tapi tak jadi.
“Saya merangkak ke dalam bilik bagi meyelamatkan diri sebelum jiran datang menolong untuk cuba menenangkan keadaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Maimon kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Jasin sebelum anaknya dibawa ke Hospital Jasin untuk rawatan.
Maimon berkata, pendapatan sebagai pembantu sekolah sememangnya tidak mencukupi untuk menyara empat anaknya berusia 33 hingga 23 tahun, termasuk tiga tergolong dalam kurang upaya selepas berpisah dengan suami kira-kira dua tahun lalu.
“Dua lagi anak saya berusia 26 dan 23 tahun mengalami masalah lembam, manakala seorang lagi berusia 24 tahun sedang mengikut pengajian undang-undang di sebuah kolej di negeri ini," katanya yang turut berdepan masalah tunggakan sewa rumah serta bil elektrik dan air.
Berikutan masalah berkenaan, Maimon turut mendapatkan bantuan Pejabat Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Melaka, semalam bagi menyelesaikan masalah dihadapi.