Search This Blog

Sunday, August 5, 2012

Geng kuari curi lori



Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my
         
KAJANG: Polis berjaya menumpaskan dua sindiket mencuri lori bersama muatannya selepas menahan 15 lelaki dengan 11 daripadanya warga India bekerja di sebuah kuari serta seorang bekerja sebagai pemandu forklift sebuah kilang dalam dua serbuan berasingan di sini dan Rawang, serta menemui semula enam lori yang dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, dalam serbuan jam 10 malam, Rabu lalu, di sebuah kuari di Batu 14 di sini, 14 lelaki ditahan dan polis menemui empat lori dengan muatan barangan perindustrian termasuk satu daripadanya dilaporkan dicuri 20 Januari lalu.


“Berdasarkan kejadian awal tahun ini, kami membuat siasatan sebelum mengesan sindiket curi lori ini di kuari berkenaan. Serbuan menahan 14 lelaki berusia antara 21 hingga 64 tahun terdiri daripada 10 warga India dan selebihnya warga tempatan.

“Seorang daripada suspek berusia 64 tahun dipercayai mempunyai kemahiran mengubah nombor chassis kenderaan, terutama lori,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, dalam satu lagi serbuan berasingan, polis menahan seorang lelaki warga India bekerja sebagai pemandu forklift di sebuah premis perindustrian Jalan 1 Kawasan Perindustrian Taman Velox Rawang, dekat sini.


Menurutnya, lelaki terbabit ditahan selepas polis menemui sebuah lori penuh muatan aluminium berhampiran tempat suspek bekerja dan pemeriksaan mendapati lori itu dilaporkan disamun di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Selesa Jaya Balakong, seminggu lalu.

“Dalam kejadian samun itu, dua lori dengan muatan aluminium serta sebuah kereta dilarikan sekurang-kurangnya lapan suspek dan sehingga kini kami sudah menemui dua lori itu manakala kereta belum ditemui,” katanya.

No comments:

Post a Comment