KLANG - Empat anggota sindiket curi kereta  Black Water  masing-masing dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen semalam, selepas mengaku bersalah terhadap 196 pertuduhan menerima dan menolong menyembunyikan 98 kereta curi, Jun 2011.
Hakim Siti Noraida Sulaiman memerintahkan keempat-empat lelaki itu, Sim Cee Wei, 29, Lau Kuan Zui, 40, Wong Ooi Kay, 35, dan Tan Ching Swee, 41, menjalani hukuman berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap, 30 Jun tahun lalu.
Sim, Lau, Wong dan Tan didakwa atas 95 pertuduhan menerima kereta curi di No 1, Lot 8638, Kampung Black Water Off Jalan Banting-Klang di sini, pada 5 petang, 29 Jun tahun lalu.
Mereka juga didakwa melakukan tiga kesalahan sama di Lorong Batu Nilam 21B, Bandar Bukit Tinggi di sini, pada 6 petang tarikh sama.
Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 413 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.
Mereka juga didakwa atas 95 pertuduhan menolong menyembunyikan kereta curi itu di Kampung Black Water, dan tiga lagi pertuduhan sama di Lorong Batu Nilam Bandar Bukit Tinggi, pada waktu dan tarikh sama.
Semua tertuduh yang berada dalam reman kerana gagal membayar wang jaminan RM1.9 juta setiap seorang, didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum tujuh tahun dan denda.
Kereta curi terdiri daripada 59 Honda City, sebuah Honda Accord, tujuh Honda CRV, dua Honda Civic, 22 Toyota Hilux, enam Toyota Rush dan sebuah Toyota Fortuner.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Azilah Mat yang mengendalikan pendakwaan pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat memandangkan keempat-empat tertuduh  anggota sindiket mencuri kereta dan perbuatan mereka menyebabkan ramai  menjadi mangsa.
Beliau berkata, kesalahan kesemua  yang dilakukan tertuduh juga sangat serius serta melibatkan kepentingan  awam.
Katanya,  sehubungan itu hukuman yang dijatuhkan perlu memberi pengajaran dan kesedaran kepada tertuduh serta masyarakat umumnya.
Akhbar sebelum ini melaporkan polis dengan kerjasama pihak Kastam berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 98 kenderaan curi bernilai RM8 juta ke Kepulauan Cyprus selepas menahan empat anggota sindiket curi kereta dalam serbuan ‘Ops Lejang’ terbesar di sebuah gudang di Kampung Black Water.
Gudang terletak kira-kira 500 meter dari jalan utama berkenaan disewa oleh sindiket dikenali sebagai Black Water itu yang sebelum ini dikesan menyeludup 456 kereta bernilai RM49 juta yang dicuri di negara ini sejak 2010 ke Hong Kong, Thailand dan Dubai. - Bernama