Noorzainy Mohd Noor
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor
BESUT- Seorang remaja lelaki terkopek kulit kepala manakala rakanya pelajar tingkatan tiga cedera di beberapa bahagian badan akibat terkena lontaran mercun buatan sendiri oleh rakan sekampung mereka di Kampung Kubang Ikan  dekat Kampung Raja, semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 9 malam ketika kedua-dua mangsa, Wan Mohammad Haiman Shafiq Wan Mohd Khairuddin, 15, dan Mohamad Hadi Salleh, 18, semasa melalui Lorong Limbat di kampung itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, mercun dipercayai buatan sendiri dibaling seorang remaja berusia 15 tahun yang dikenali mangsa.

Menurutnya, suspek yang memasukkan belerang di dalam besi didakwa telah membaling mercun tersebut ke arah mangsa dan meletup sejurus kemudian.

“Mohamad Hadi mengalami kecederaan parah di kepala dan terpaksa dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selepas mendapat rawatan awal di Hospital Besut.

“Mangsa kedua pula mengalami kecederaan di bahagian bawah mata kanan, pergelangan tangan kanan dan bahu kiri, namun mangsa ini dibenarkan pulang setelah mendapat rawatan,” katanya.

Kedua-dua bapa mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja. Noorzainy berkata, susulan kejadian itu polis menahan suspek berusia 18 tahun yang merupakan seorang penganggur di sebuah  rumah di kampung sama.

Pemeriksaan di rumah suspek tidak menemui sebarang mercun dan siasatan awal suspek mengaku membaling mercun ke arah mangsa.

Suspek ditahan untuk membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 7(B) Akta Bahan Letupan 1957 kerana membuat mercun buatan sendiri mengakibatkan kecederaan yang sabit kesalahan boleh disabitkan hukuman  penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.