Diberkas dalam tempoh 3 jam
Kooi Cheang menunjukkan barangan kemas dan wang tunai yang dirampas.
TAMPIN – Seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan samun dan ragut membabitkan seorang warga emas di Felda Bukit Jalor, Gemencheh, dekat sini, 2 Ogos lalu, berjaya ditahan dalam tempoh masa tiga jam selepas kejadian itu.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan di kediamannya di Felda Pasir Besar, Gemas, dekat sini.
Menurutnya, dalam serbuan itu, polis berjaya merampas wang tunai sebanyak RM4,481 hasil jualan barang kemas yang disamun.
"Selain itu, pihak polis turut merampas barang kemas yang dipajak suspek," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Tampin, dekat sini, semalam.
Kooi Cheang berkata, suspek akan dijatuhkan hukuman di Mahkamah Majistret Tampin esok (hari ini) di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda atau sebatan.
“Suspek mempunyai empat kes lampau membabitkan kes samun, ragut dan rompak di mana tiga daripadanya di Tampin dan satu di Selandar, Jasin, Melaka,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, lelaki berkenaan dikatakan berpura-pura bertanyakan arah lokasi kepada mangsa sebelum bertindak menutup mulut mangsa dengan tangan.
Menurut sumber, sebelum kejadian, suspek yang memandu sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hitam sudah berhenti terlebih dahulu di sebuah lokasi di perkampungan Felda berkenaan untuk menanggalkan nombor plat kereta berkenaan.
“Selepas itu, suspek meragut seorang warga emas yang berada di sebuah kedai runcit di Felda ini.
“Pada mulanya, suspek bertanyakan arah lokasi, sebelum menutup mulut mangsa dan merentap dua utas rantai serta gelang emas yang dianggarkan bernilai RM10,000,. Suspek kemudiannya, melarikan diri menaiki kereta tanpa nombor plat berkenaan,” katanya.