Cedera ditetak perompak
Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan seorang pekerja asing ditetak penyamun yang memecah masuk kilang di kawasan perindustrian Selesa Jaya, Balakong Ahad lalu.
KAJANG - Sebuah kilang di kawasan Perindustrian Selesa Jaya, Balakong, di sini dipecah masuk Ahad lalu, menyebabkan lebih tiga pemilik premis yang beroperasi di dalam kawasan kilang tersebut mengalami kerugian.

Difahamkan, kilang tersebut menempatkan 12 premis kilang kecil yang menjalankan perusahaan aluminium, kejuruteraan dan proses makanan sejuk beku dimana 10 daripadanya dipecah masuk.

Seorang pemilik premis, Lee Yih Feng, 34, berkata, premisnya menjalankan kerja kejuruteraan malah baru dua bulan menyewa di dalam kawasan kilang berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 9 pagi, dia menerima panggilan daripada pekerja memaklumkan kilang mereka dipecah masuk.

“Saya segera ke kilang dan memeriksa kawasan namun tiada barang yang hilang kerana tiada barang bernilai di kawasan kilang berikutan kami hanya menjalankan operasi pengeluaran sahaja di sini.

“Namun jentera forklift kami dialihkan dan dijumpai di kilang berdekatan mungkin digunakan penyamun untuk mengangkut barang dari kilang berdekatan,” katanya.

Seorang lagi pemilik premis, Hee Meow Loong, 41, berkata, seorang pekerja asing di kilang berdekatan turut dicederakan penyamun menggunakan parang berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Berdasarkan rakaman, lebih enam penyamun yang memecah masuk premis bersenjatakan parang malah bertindak menetak seorang pekerja, namun mujur dia hanya mengalami cedera ringan.

“Saya telah lima tahun menjalankan perindustrian kejuruteraan di kawasan kilang ini dan ini kali pertama kes besar dihadapi berlaku,” katanya.
Meow Loong berkata, dia mengalami kerugian sekitar RM100,000 apabila wang asing lebih RM10,000 dikebas, lori syarikat, sistem CCTV, buku cek persendirian dan syarikat, pasport dan dua komputer riba dilarikan perompak.

“Ketika kejadian itu juga, sistem penggera dipotong dan pengawal turut diikat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab mengesahkan menerima laporan tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.