Search This Blog

Tuesday, August 14, 2012

4 wanita pecah rumah



Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my
   
IPOH: Dua kumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Sari dan Geng Kalmit mengejutkan pihak polis apabila dikesan menggunakan khidmat empat wanita untuk melakukan jenayah pecah rumah di sekitar bandar raya ini.
Kegiatan kumpulan itu terbongkar apabila suspek diberkas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh dalam dua serbuan berasingan di sekitar Pasir Puteh, di sini, malam kelmarin. Kumpulan penjenayah wanita berusia 31 hingga 46 tahun dikesan bertindak licik memperdayakan mangsa dengan pelbagai tipu helah selain dipercayai mempunyai kepakaran tersendiri dalam kumpulan masing-masing. Dua daripada wanita berkenaan dipercayai menganggotai Geng Sari dengan menjadikan kawasan kaki lima kedai serta perhentian bas sebagai sasaran melakukan jenayah terancang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, suspek wanita ‘Geng Sari’ dikesan kerap memperdayakan mangsa dengan berpura-pura mahu menghantar mangsa pulang selain menjual alatan sembahyang.

Menurutnya, suspek menggunakan kesempatan itu menceroboh rumah mangsa sebelum melakukan rompakan bersenjatakan pisau.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari unit tindakan khas Ibu Pejabat Polis (IPD) Ipoh diketuai Inspektor Murphy Marti melakukan serbuan di restoran nasi kandar di Pasir Puteh, di sini, jam 12.15 pagi, kelmarin.

“Hasil serbuan itu, polis memberkas seorang wanita berusia 46 tahun bersama seorang lelaki berusia 32 tahun. Susulan tangkapan pertama itu, polis menahan seorang lagi wanita berusia 34 tahun dan seorang lelaki berusia 30 tahun di sebuah rumah di Kampung Batu Gajah, di sini,” katanya.



Beliau berkata, polis kemudian menyerbu sebuah lagi rumah di Kampung Rapat, di sini, yang menjadi markas persembunyian ketua Geng Sari berusia 56 tahun.

“Polis mendapati rumah dalang utama itu digunakan sebagai stor menyimpan hasil rompakan. Polis turut merampas Proton Wira menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Kumpulan itu dipercayai melakukan jenayah sejak enam bulan lalu selain terbabit 11 kes samun sekitar Ipoh dan Kampar. Semua suspek mempunyai rekod jenayah direman sehingga 16 Ogos depan,” katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, polis menahan seorang wanita berusia 31 tahun yang gagal melarikan diri selepas memecah masuk rumah di Taman Lindungan Bulan di sini, jam 9.45 pagi kelmarin.

Menurut Azisman, suspek wanita menganggotai ‘Geng Kalmit’ itu melakukan kes pecah rumah siang hari bersama beberapa rakan lain.

“Susulan itu polis memberkas dua lagi lelaki berusia 24 dan 28 tahun serta seorang wanita, 34, di Pengkalan Gate, Ipoh, di sini,” katanya.

No comments:

Post a Comment