Search This Blog

Friday, August 10, 2012

4 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang rumah pusaka musnah dalam kebakaran

4 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang rumah pusaka musnah dalam kebakaran
Bapa Normah, Ismail turut bersedih selepas kediaman
yang didiami bersama anaknya hangus dalam kebakaran

KOTA BHARU- “Sambutan hari raya pada tahun ini tidak bermakna lagi apabila, kesemua pakaian, termasuk barangan dalam rumah musnah sekelip mata,” kata mangsa kebakaran Normah Ismail, 41.
Kejadian kira-kira jam 10, yang berlaku di Kampung Padang Halban Ketereh, menyebabkan rumah pusaka, yang didiami empat sekeluarga hangus serta-merta selepas api marak ke seluruh bahagian kediaman terbabit.
Menurut Normah, ketika kejadian, dia sedang menonton televisyen di ruang tamu bersama anaknya, Akmal Haikal Mazlan, 4.
“Saya hanya menyedari api bermula dari bilik ayah selepas televisyen terpadam secara tiba-tiba dan ternampak kepulan asap keluar melalui ruang itu.
“Selepas menyedari asap semakin tebal, saya cuba menerpa pintu bilik ayah dan cuba menyelamatkan barangan dalam rumah, namun api menjulang dan saya terus lari selamatkan diri serta berteriak kepada ayah yang berada di luar beranda bersama ibu menjauhi kawasan itu selepas api semakin marak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya semalam.
Normah berkata, dia hanya mampu mencapai kunci kereta dan memimpin ibunya, Khadijah Abd Ghani, 73, bersama bapanya Ismail Awang, 80, dan anak bongsunya.
“Apa yang saya ingatkan ketika itu adalah kedua orang tua saya, kerana ayah mengalami sakit lutut manakala ibu juga mengalami masalah kesihatan.
“Mujurlah keluarga saya selamat, namun agak terkilan, kerana kesemua persiapan untuk sambutan Aidilfitri yang hanya tinggal beberapa hari lagi, termasuk pakaian baru hangus dalam kebakaran itu,” katanya.
Sementara itu Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Zahariman Awang berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.17 pagi dan sampai di tempat kejadian kira-kira jam 10.30 pagi.
“Apabila kami sampai kebakaran sudah merebak hampir 90 peratus.
“Dengan kekuatan anggota seramai tujuh orang dan sebuah jentera api dapat dikawal hampir 10 minit kemudian,” katanya.
Beliau berkata setakat ini punca kejadian masih disiasat dan kerugian dianggarkan bernilai RM100,000.

No comments:

Post a Comment