GEORGETOWN - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah apabila didakwa memperdagangkan seorang kanak- kanak tiga tahun lalu. Yong Yoke Keng, 42, dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Jalan Transfer antara jam  3.30 pagi 25 Jun hingga 11.30 pagi 26 Jun 2009.

Tertuduh yang berasal dari Ulu Tiram, Johor didakwa memperdagangkan seorang kanak-kanak perempuan bagi maksud eksploitasi seks mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Kesalahan itu memperuntukkan penjara tidak kurang dari tiga tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, S Selva Ranjini di hadapan Majistret, Noor Aini  Yusof. Dalam pendakwaan, Selva Ranjini menawarkan tertuduh dengan wang jaminan RM30,000 namun Noor Aini menetapkan RM25,000.

Ia kemudian ditangguh kepada 14 Ogos depan untuk pengurusan kes.