Search This Blog

Thursday, July 5, 2012

Penduduk paksa suspek curi kunyah getah beku

myMetro | Penduduk paksa suspek curi kunyah getah beku:


RANTAU PANJANG: Gelagat seorang penagih dadah mencuri perhatian orang ramai apabila dipaksa penduduk mengunyah getah beku yang dicurinya sejurus diberkas di Kampung Tasek Bakong, di sini, petang kelmarin.

Suspek berusia 31 tahun yang juga bapa kepada dua anak itu berjaya diberkas sekumpulan penduduk kampung berhampiran kilang padi di Kampung Batu Karang, selepas cubaannya melarikan diri dengan memecut motosikal dinaiki sejauh lima kilometer (km), tidak berjaya.

Kegiatannya sebelum itu dikesan seorang penduduk kira-kira jam 6 petang sebelum memaklumkannya kepada penduduk lain.

Mereka kemudian mengejar suspek yang menaiki motosikal menggunakan nombor pendaftaran Thailand.

Ketika ditanya, suspek mengaku mencuri getah beku itu sejak dua bulan lalu bagi membeli dadah.

“Setiap hari, saya memerlukan sekurang-kurangnya RM50 untuk membeli barang (dadah). Itu saja cara mudah untuk saya dapatkan bekalan,” katanya.

Penghulu Mukim Gual Mesa, Wan Mohd Zain Wan Jaafar berkata, kegiatan mencuri getah beku itu semakin berleluasa sejak beberapa minggu lalu di sekitar Kampung Gual Mesa, Kampung Tasek Bakong, Kampung Batu Karang, Kampung Tok Pelanduk serta beberapa kampung sekitar.

“Memang saya akui sejak tiga minggu kebelakangan ini kes kecurian getah semakin menjadi-jadi di sekitar kampung di sini.

“Pencuri getah beku sering menjadikan beberapa kampung di sini sebagai sasaran menyebabkan penduduk berang dan berusaha mengesan suspek yang melakukan kegiatan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, suspek kini ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan.

“Polis menerima laporan polis itu dan suspek kini ditahan reman,” katanya.

No comments:

Post a Comment