Search This Blog

Saturday, July 21, 2012

Lelaki lari masuk hutan

KRUBONG, MELAKA - Cuak melihat sekatan jalan raya polis, seorang lelaki sanggup melarikan diri ke dalam hutan meninggalkan motosikalnya di Taman Krubong Jaya, di sini, awal pagi semalam.

Lelaki terbabit lari selepas dikejar beberapa anggota polis, meninggalkan motosikal jenis Honda Wave bersama sebuah beg berisi sebilah parang kira-kira 100 meter dari lokasi sekatan dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, beg itu turut mengandungi beberapa barang lain dipercayai untuk pecah rumah.

“Lelaki terbabit dilihat meninggalkan motosikalnya sebelum tiba di lokasi sekatan dan melarikan diri menuju hutan berhampiran.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan sebilah parang dan beberapa barangan lain yang dirampas untuk tindakan lanjut dan kami akan mengesan pemilik motosikal terbabit bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Operasi Cegah Jenayah yang dilakukan sepasukan empat pegawai dan 15 anggota Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dengan kerjasama unit peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan Balai Polis Tanjung Minyak, bermula kira-kira jam 11.30 malam, kelmarin.

Ahmad Adnan berkata, operasi itu bertujuan membanteras jenayah di taman perumahan di negeri ini.

No comments:

Post a Comment