Search This Blog

Saturday, July 21, 2012

Lelaki berang isteri enggan sain surat poligami

MUAR  –  Seorang lelaki berusia 56 tahun nyaris membakar rumah kelamin setelah berang apabila isteri pertama enggan menandatangani surat kebenaran berpoligami, semalam.

Kejadian bermula jam 10 pagi itu berlaku ketika lelaki terbabit mengajak isterinya yang berusia 50an mengikutinya ke pejabat agama untuk menandatangani surat kebenaran berkahwin dengan seorang wanita berusia 36 tahun.

Menurut sumber, isteri lelaki terbabit tidak bersetuju lalu mendorongnya mengugut isteri dan keluarga untuk membakar rumah itu.

“Tetapi tidak jadi berbuat demikian apabila isterinya membuat laporan polis kira-kira pukul 2 petang.

“Ketika itu, lelaki berkenaan sudah bersiap sedia dengan sebotol minyak petrol dan satu tong gas bertujuan  membakar kediamannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Namun, suspek melarikan diri sebaik sahaja mengetahui isterinya membuat laporan polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Sahadan Jaafar ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Suspek telah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar tengah hari semalam dan telah diambil keterangan.

“Kes ini masih siasatan dan  disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment