Search This Blog

Wednesday, July 4, 2012

Laga bahu bawa padah

Mat Fauzi
Mat Fauzi menunjukkan fotofi t dua individu yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes pukul sehingga mati.
Mat Fauzi menunjukkan barang kes rampasan dadah sambil diperhatikan oleh Mohd Ridwan (kiri).
Mat Fauzi menunjukkan barang kes rampasan dadah sambil diperhatikan oleh Mohd Ridwan (kiri).
BAGAN SERAI - Tindakan seorang buruh ladang berlaga bahu dengan seorang pemuda ketika berlangsungnya upacara sembahyang di Tokong Sri Maha Mariamman, Ladang Chersonese, di sini membawa padah apabila mangsa dibelasah sehingga mati oleh sekumpulan lelaki.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam 29 Jun lalu, mangsa, T Eharajoo, 34, yang berasal dari Ladang Chersonese dikatakan berselisih faham dengan salah seorang suspek kerana didakwa cuba mencetus pergaduhan ketika upacara sembahyang berlangsung.

Menurutnya, perselisihan faham itu membawa kepada pertikaman lidah sebelum mangsa bersama adik lelakinya dibelasah dan dipukul dengan benda keras oleh 15 pemuda di hadapan Dewan Ladang Chersonese, Jalan Siakap, Kuala Kurau ketika pulang ke rumah.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka serta meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Taiping.

“Manakala adik mangsa mengalami kecederaan di bahagian badan dan muka. Bagaimanapun, polis difahamkan, keadaan adik mangsa stabil,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Mohd Radwan Bachik.

Mat Fauzi berkata, berikutan kejadian itu, polis melancarkan operasi menjejak semua suspek dan 13 pemuda berusia lingkungan 20-an, ditahan di Parit Buntar dalam tempoh 24 jam bagi membantu siasatan kes terbabit.

Menurutnya, polis turut percaya kumpulan itu didalangi dua pemimpin yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian berkenaan.

“Polis kini sedang mencari dua individu iaitu M Raj Kumar, 25, dan Mohamad Anuar Mohd Yusof, 26, yang berasal dari Ladang Soon Lee untuk membantu siasatan.

“Kedua-dua individu itu didapati mempunyai lapan rekod jenayah lampau melibatkan kes di bawah kanun keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya 1957,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman di lokap IPD Kerian sehingga 6 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Empat pengedar leka bungkus dadah dicekup MANAKALA dalam kejadian 25 Jun lalu, sekumpulan lelaki diberkas di sebuah pangsapuri di Bukit Merah Lake Town, di sini, ketika sedang leka membungkus dadah pelbagai jenis, kira-kira jam 8.30 malam.

Mat Fauzi berkata, hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis diketuai Asisten Superintendan Tan Boon Hai memberkas empat lelaki, berusia lingkungan 23 hingga 32 tahun itu.

Menurutnya, kesemua mereka tidak sempat melarikan diri ketika serbuan setelah pintu pangsapuri dibuka secara paksa.

"Kita menjumpai satu peket lutsinar berisi 810 pil ektasi seberat 180.30 gram bernilai RM24,300, dua peket lutsinar berisi dadah jenis syabu seberat 14.72 gram bernilai RM3,000 dan satu ketulan mampat ganja seberat 29.49 gram bernilai RM100.

“Pada masa sama, kita turut menemui satu peket plastik lutsinar berisi dadah heroin seberat 57.22 gram bernilai RM3,000 di ruangan bahagian brek tangan kereta selain merampas wang tunai berjumlah RM8,130, sembilan telefon bimbit pelbagai jenama, alat timbang elektronik, alat membungkus serta satu pelet plastik lutsinar," katanya.

Mat Fauzi berkata, siasatan lanjut turut mendapati seorang suspek cuba menyembunyikan satu anak kunci kereta jenis Proton Gen-2 yang diletakkan di hadapan premis dan jumlah keseluruhan nilai rampasan bernilai RM38,530.

Menurutnya, polis mengesyaki bekalan dadah diambil dari sekitar daerah Selama memandangkan ketiga-tiga suspek berasal dari Taiping dan dibungkus di pangsapuri itu yang dijadikan transit pengedaran dadah.

Katanya, keempat-empat suspek kini di reman sehingga 9 Julai ini untuk membantu siasatan.

"Dua daripada suspek ini mempunyai kesalahan jenayah lampau. Berdasarkan kes itu, kita akan meningkatkan pemantauan terhadap aktiviti pengedaran dadah di daerah ini bagi mengelakkan usaha mewujudkan makmal dadah di sini.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori sekiranya disabitkan kesalahan,” katanya.

Van rokok ditemui, suspek masih diburu SEMENTARA itu, van rokok dilarikan sekumpulan penyamun dalam satu rompakan bersenjata di hadapan sebuah kedai runcit Jalan Taiping, di sini berjaya ditemui polis di bahu jalan Sungai Baru, Semanggol minggu lalu.

Bagaimanapun, Mat Fauzi menegaskan puluhan karton rokok jenama Dunhill bernilai hampir RM20,000 di dalam van itu ‘lesap’ dipercayai dilarikan pada hari kejadian.

“Pada masa sama, kita masih menjejaki ketiga-tiga suspek yang dipercayai masih bebas dan satu pasukan tugas khas ditubuhkan bagi menyelesaikan kes ini.

“Polis turut memohon jasa baik orang ramai untuk melaporkan jika terdapat sebarang kegiatan mencurigakan melibatkan jenayah samun di kawasan masing-masing,” katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan sekumpulan tiga penjenayah menyamun seorang pekerja sebuah syarikat rokok dan melarikan van mengandungi berpuluh karton rokok jenama Dunhill bernilai hampir RM20,000 ketika mangsa sedang mengedarkan stok bekalan rokok di sebuah kedai runcit, berdekatan Jalan Taiping di sini, 24 Jun lalu.

Lebih mencemaskan, pekerja terbabit turut diculik sebelum ditinggalkan di Jalan Bukit Merah bagi membolehkan mereka melarikan van bernilai RM80,000, wang tunai RM2,700 dan empat keping cek belum ditunaikan bernilai RM6,000 menjadikan jumlah keseluruhan hampir RM100,000.

No comments:

Post a Comment