Search This Blog

Wednesday, July 11, 2012

Kutip derma haram, dua lelaki dicekup


Kutip derma haram, dua lelaki dicekup
Pegawai Penguatkuasa Syariah Jabatan Agama Dungun, Jasri Din (kanan) sedang menyoal siasat dua lelaki warganegara Thailand yang ditahan di Pasar Besar Dungun.
KUALA DUNGUN – Tindakan dua lelaki warganegara Thailand mengutip derma daripada orang ramai tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa dekat sini membawa padah apabila kedua-duanya dicekup anggota pegawai penguat kuasa syariah.

Ketika ditahan kira-kira jam 10.30 pagi itu, dua lelaki berumur 33 dan 44 itu dikatakan sedang mengutip derma daripada orang ramai di Pasar Besar Dungun.

Kehadiran dua lelaki berkopiah itu bagaimanapun mendatangkan rasa curiga penghuni di pasar sebelum menghubungi pihak PPS Dungun untuk tindakan lanjut.

Siasatan awal mendapati mereka mengutip derma untuk tujuan membina sebuah tadika Islam di sebuah pondok agama dekat Narathiwat, selatan Thailand.

Bagaimanapun, kedua-duanya mengakui tidak mengetahui mengutip derma tanpa kebenaran adalah satu kesalahan di negara ini selain merayu agar tidak dikenakan tindakan.

Salah seorang suspek yang berumur 44 tahun dan difahamkan lulusan Ijazah Usuluddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu dikatakan memulakan aktiviti mereka sejak dua minggu
lalu dan berjaya memungut antara RM200 hingga RM300 sehari.

Mereka datang ke negeri ini dengan menaiki sebuah kereta selain menjadikan tempat tumpuan awam seperti pasar dan pasar raya sebagai lokasi sasaran untuk mendapatkan simpati orang ramai.

“Saya ingat kutip derma untuk tujuan kebajikan tidak salah, sebab itu saya datang ke sini.

“Saya harap perkara ini menjadi pengajaran berharga buat saya dan tidak akan mengulanginya lagi,” kata lelaki berasal dari Narathiwat itu.

Kedua-duanya bagaimanapun dibebaskan selepas diberi amaran keras.

Mereka yang didapati memungut derma tanpa kebenaran boleh didakwa mengikut Seksyen 90, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Islam Negeri Terengganu 2001, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment