Search This Blog

Friday, July 13, 2012

Kemalangan: Penumpang kereta maut




Kemalangan: Penumpang kereta maut
Mayat Mohd ditutup dengan surat khabar sementara
 menunggu dibawa ke Hoshas untuk dibedah siasat.
 

BERA - Seorang pekerja Kilang Sawit Felda Kemasul maut dalam satu kemalangan di Jalan Triang-Kemasul, dekat sini, kira-kira jam 2.20 petang kelmarin.

Mangsa, Mohd Shafai, 39, yang duduk di bahagian penumpang hadapan maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, kereta yang dinaiki mangsa bersama seorang rakan iaitu jenis Honda Civic dipercayai hilang kawalan lalu merempuh kereta Perodua Viva dari arah bertentangan.

Menurutnya, kereta mangsa dari arah Triang secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan di kawasan berselekoh.

“Pemandu Honda Civic turut mengalami kecederaan parah dan sedang dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh.

“Sementara, sekeluarga yang menaiki kereta Perodua Viva hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, pemandu kereta Perodua, Othman Talib, 60, cedera di bahagian mata sebelah kiri dan terpaksa menerima 10 jahitan.

Mohd Zahid berkata, berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kereta Honda Civic terbabit berikutan jalan di lokasi ketika kejadian dalam keadaan rata dan kering.

Bagaimanapun katanya, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Sementara itu, Othman berkata, semasa kejadian, dia dan isteri, Rahna Yong, 45, dalam perjalanan dari Felda Bukit Puchong menghantar anaknya, Nor Azura, 20, ke tempat kerja di Kerayong.

“Nasib baik saya memandu perlahan dan ternampak kereta Honda Civic itu dipandu laju dan tiba-tiba memasuki laluan saya.

“Saya serta-merta memberhentikan kereta di tepi jalan kerana bimbang berlaku apa-apa, tetapi tidak sangka pula kereta itu terus meluncur dan menghentam kereta saya,” katanya semasa ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Othman berkata, selain cedera di mata, dia juga mengalami bengkak di bahagian dada sementara isterinya pula cedera ringan di bahagian rusuk kiri.

No comments:

Post a Comment