Search This Blog

Monday, July 2, 2012

Dua rumah musnah terbakar

Dua rumah musnah terbakar - Kelantan - Sinar Harian:

Dua rumah musnah terbakar
Asiah (kanan) bersama saudara mara selepas kejadian.
KAMPUNG PENGKALAN BARU - Sepasang suami isteri tinggal sehelai sepinggang, apabila kediaman mereka musnah dalam masa beberapa minit ketika kebakaran yang berlaku lewat petang kelmarin.

Asiah Mohd Nor, 57, berkata, kejadian tersebut berlaku hampir jam 6 petang ketika dia sedang menyemai pokok cili berdekatan rumahnya.

Menurutnya, ketika dia asyik menguruskan anak-anak pokok cili, seorang penduduk bergegas memberitahu mengenai api yang mula marak di rumah sebelah.

“Sebelum itu saya dan suami, Ismail Yaakob, 62, baru sahaja pulang dari kedai jubin kerana kami dalam proses membaiki rumah.

“Ketika diberitahu mengenai api dari rumah sebelah, penduduk menjerit memberitahu penghuni rumah tersebut tetapi mereka tidak mempedulikannya kerana bunyi muzik terlalu kuat dari rumah tersebut.

“Akhirnya api dari rumah mereka terus merebak ke rumah kami,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Hanya sempat selamatkan tilam

Asiah berkata, api yang merebak dengan cepat menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan apa-apa.

Katanya, ketika kekalutan meminta pertolongan daripada orang kampung, salah seorang penduduk hanya sempat menyelamatkan tilam di dalam rumah.

Namun dia bersyukur kerana cucunya, Mohd Haiqal Mohd Syukri, 5, tiada di rumah.

“Kami tinggal tiga beranak dan mujurlah ketika itu cucu ke rumah keluarganya yang berdekatan masjid.

“Tetapi tiada sebarang barangan yang dapat kami selamatkan. Semua peralatan rumah, perabot, wang tunai RM3,000 dan barang kemas kira-kira RM50,000 tidak dapat diselamatkan.

“Saya sendiri hanya sempat mengambil geran kereta sahaja,” katanya.

Kerugian RM150,000 bagi dua rumah

Manakala, Pegawai Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat Daerah Bachok, Nordin Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai pada jam 5.37 petang.

Dua jentera bersama enam anggota yang diketuai oleh Ahmad Ali tiba di lokasi pada jam 5.42 petang.

“Dengan bantuan sebuah lagi jentera dari Balai Bomba Dan Penyelamat Pengkalan Chepa, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 7.18 malam.

“Kerugian dianggarkan bernilai RM150,000 bagi kedua buah rumah tersebut, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya

No comments:

Post a Comment