Search This Blog

Saturday, July 21, 2012

Dicekup sewaktu asyik membeli nombor ekor

Dicekup sewaktu asyik membeli nombor ekor
Lelaki warga Indonesia (kanan) asyik membeli nombor
ekor ketika dicekup anggota Imigresen.

LANGKAP, HILIR PERAK - Keasyikan warga asing membeli nombor ekor di premis nombor ramalan terganggu apabila dia dikejutkan dengan serbuan anggota Imigresen di sini, dalam Ops 6P petang kelmarin.

Lelaki warga Indonesia itu cuba meloloskan diri namun gagal dan dia ditahan bersama-sama 14 yang lain dalam ops berkenaan yang dijalankan di tiga premis nombor ramalan di kawasan itu.

Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, 11 daripada warga asing ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63.

Menurutnya, kebanyakan warga asing yang ditahan ketika mereka sedang membeli nombor ekor.

"Mereka yang ditahan berumur antara 20 hingga 38 tahun dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63.

“Dalam serbuan ke atas premis nombor ramalan itu, pihak kami berjaya menahan empat lelaki warga Bangladesh, satu lelaki Nepal dan enam lelaki Indonesia.

“Kesemua mereka ini dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Langkap untuk tindakan dokumentasi oleh pihak kami sebelum tindakan seterusnya diambil,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di Depot Tahanan Imigresen Langkap, di sini, malam kelmarin.

Dalam perkembangan lain, Khairul Anuar berkata, pihaknya turut menyerbu sebuah tapak pembinaan di kawasan Langkap dan memeriksa 17 orang warga asing yang dipercayai pekerja tapak pembinaan itu.

Katanya, daripada 17 yang diperiksa sembilan daripada mereka ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta dan Peraturan- Peraturan Imigresen 1959/63.

"Daripada jumlah yang ditahan, dua wanita dan tujuh lelaki warga Indonesia berusia antara 20 hingga 38 tahun.

“Ketika serbuan yang dijalankan, ada daripada pekerja asing ini cuba melarikan diri namun usaha mereka gagal apabila berjaya dicekup oleh anggota Imigresen.

“Kesemua warga asing itu bawa ke Depot Tahanan Imigresen Langkap untuk tujuan pendokumentasian dan siasatan juga dilakukan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007,” katanya.

1 comment:

  1. Hahahaha.....ingat boleh idup kat Malaysia ni ngan duit judi tue. Padan muka

    (astaghfirullahalazim.....pagi2 CiM dah padankan muka org)

    Ampun Ya Allah.......

    ReplyDelete