Search This Blog

Wednesday, July 4, 2012

‘Datuk’ chalet parah

ALOR GAJAH: Seorang pengusaha chalet bergelar Datuk nyaris maut apabila bot gentian kaca membawa 15 penumpang yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh tembok penghadang ombak di Pantai Pengkalan Balak, dekat sini, kelmarin.
Kejadian jam 7.15 malam itu menyebabkan mangsa, Datuk Yunos Abu, 65, cedera di kepala dan patah tangan kiri selepas terhentak pada stereng bot berkenaan.

Pembantu pemandu bot mangsa, Shahrizat Azlan, 17, yang tercampak kira-kira 10 meter pula dikatakan hanya cedera ringan di pipi kiri, manakala 15 penumpang lain terselamat selepas berpaut pada pelampung.
Saksi kejadian, S Ganesh, 35, berkata, ketika kejadian, dia bersama isterinya, A Shanti, 28, sedang duduk di tembok pantai berkenaan.

“Pada waktu itu, kami melihat sebuah bot dipandu seorang lelaki bersama pembantunya menarik sebuah pelampung pisang yang membawa muatan 15 penumpang.

“Bot itu dilihat membuat pusingan, namun melencong ke arah daratan dan meluncur laju seperti hilang kawalan lalu merempuh tembok batu di persisiran pantai.
“Ia menyebabkan seorang remaja lelaki tercampak dan jatuh atas tebing pasir, namun kami tidak nampak pemandu bot berkenaan,” katanya kepada Harian Metro, kelmarin.

Menurut dia, keadaan amat panik ketika itu dan dia bergegas menuju ke arah bot berkenaan sebelum mendapati seorang lagi mangsa turut cedera.
“Saya cuba menenangkan mangsa yang cedera di kepala dan tangan kiri selain kedua kakinya tersepit di celahan bot yang pecah,” katanya yang kemudian menghubungi talian kecemasan untuk tindakan lanjut.

Beberapa minit kemudian, pasukan penyelamat terdiri daripada anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan bomba serta sebuah ambulans tiba di lokasi kejadian.

Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Terendak sebelum dirujuk ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, jurucakap Hospital Terendak berkata, mangsa mengalami gegaran pada otak selain patah tangan kiri.

No comments:

Post a Comment