Search This Blog

Sunday, June 24, 2012

Sambung paip air haram diserbu

SEREMBAN 22 Jun - Helah pemilik sebuah rumah kedai tiga tingkat di Nilai dekat sini yang mencuri air melalui penyambungan paip secara haram akhirnya terbongkar selepas diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) bersama-sama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam.
Serbuan pukul 1 petang itu diketuai Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguatkuasaan SPAN, Mohadir Hid disertai beberapa pegawai SPAN dan Unit Penguatkuasaan Sains hasil maklumat awam.
Pengurus Khidmat Pelanggan dan Hal Ehwal Awam Sains, Azlan Abdul Aziz berkata, ketika serbuan pemilik premis tersebut dikesan menggunakan paip mudah lentur bersaiz 12 milimeter secara tidak sah untuk mendapatkan bekalan air.
"Berdasarkan ujian klorin yang dijalankan di lokasi itu, bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains.
"Premis itu dipercayai memperolehi air hasil penyambungan paip air secara tidak sah untuk kegunaan harian mereka," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Justeru, Azlan memberitahu, pegawai SPAN telah mengeluarkan notis memaklumkan kesalahan pemilik premis itu dan menyita paip mudah lentur tersebut sebagai bahan bukti.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006. Denda yang diperuntukkan adalah sebanyak RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.
Pada masa yang sama, pihak Sains turut menghargai bantuan orang awam dalam membendung kegiatan haram itu yang turut membabitkan bukan sahaja kes komersial, malah domestik.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kes kecurian air boleh menghubungi talian bebas tol Sains iaitu 1-800-88-6982 dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan, katanya.

No comments:

Post a Comment