Search This Blog

Wednesday, June 20, 2012

Penyamun mewah 45 minit


IPOH - Sekumpulan empat penyamun bertindak ganas menggunakan pedang samurai untuk merompak sebuah premis menjual telefon bimbit dalam satu kejadian di Lenggong, awal pagi semalam.

Malah pemilik premis turut diugut bunuh dan diacukan parang di leher ketika dia cuba melawan penyamun terbabit dalam kejadian yang berlaku pada jam 1.15 pagi itu.

Ketika kejadian, mangsa dan rakannya masing-masing berusia 35 dan 40 tahun dikejutkan dengan ketukan pintu yang kuat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, sebaik membuka pintu, salah seorang penyamun terus meletakkan pedang samurai ke leher mangsa dan mengugut mahu membunuhnya jika melawan.

“Kumpulan penyamun itu segera masuk ke dalam premis dan mengambil pelbagai barang seperti satu komputer riba, dua telefon bimbit, beg duit mangsa mengandungi kad pengenalan, pelbagai kad bank dan wang dengan jumlah keseluruhan bernilai lebih RM4,000.

“Pemilik kedai kemudian terus berlari sejauh 500 meter ke Balai Polis Lenggong membuat laporan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, kumpulan penyamun yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 25 tahun itu kemudian melarikan diri menaiki kereta Perodua Viva menuju ke Ipoh melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

“Bagaimanapun, usaha kumpulan penyamun itu untuk melarikan diri gagal apabila mereka ditahan kira-kira 45 minit kemudian ketika polis membuat sekatan berhampiran plaza Tol Kuala Kangsar kira-kira jam 2 pagi.

“Polis berjaya menemui semula semua barangan samun selain dua pedang semurai, satu parang panjang serta rotan dan dua topeng muka yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah itu,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek yang berasal dari Ipoh direman di IPD Gerik selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan supaya pemilik premis perniagaan khususnya supaya lebih berhati-hati dan sesekali membuka pintu sesuka hati terutamanya pada waktu malam kerana risiko penjenayah melakukan jenayah pada masa itu amat tinggi,” katanya.

No comments:

Post a Comment