KOTA BHARU - Seorang peniaga barang kemas kerugian hampir RM300,000 selepas kedai miliknya di Pasir Tumboh di sini dipecah masuk.

Mangsa, Lu Shing Ai, 49, berkata beliau hanya sedar premisnya dipecah masuk pada 12.30 tengah hari tadi ketika hendak memulakan perniagaan.

"Saya percaya pencuri itu masuk melalui tingkat atas bangunan premis yang kosong sebelum bertindak memecahkan dinding konkrit dan masuk ke dalam kedai.

"Mereka juga bertindak mengumpil pintu peti besi dan mengambil barang kemas di dalamnya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata siasatan awal mendapati lebih daripada seorang terlibat dalam jenayah tersebut dan suspek juga didakwa melarikan seketul emas seberat satu kilogram.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - Bernama