Search This Blog

Wednesday, June 20, 2012

‘Mak rindu sangat’

SHAH ALAM: “Tolonglah pulang ke pangkuan emak. Emak teringin nak peluk dan melihat kau sebelum emak tutup mata selama-lamanya.”
Demikian rintihan seorang ibu, Salasiah Aminuddin, 66, meminta anaknya, Hamid Khan Omar Khan, 42, pulang ke rumah mereka di Kampung Teluk Air Tawar, Sitiawan, Perak selepas menghilangkan diri dua setengah tahun lalu.

Salasiah turut terkilan kerana anak keduanya itu langsung tidak pulang ke kampung ketika suaminya, Omar Khan Muhammad Khan meninggal dunia, dua bulan lalu.
Ibu tunggal empat anak itu berkata, kali terakhir mereka bertemu, Hamid Khan berpesan supaya dia menjaga diri dan kesihatan serta berjanji akan membantu sekiranya Salasiah menghadapi sebarang masalah. “Waktu itu dia memberitahu mendapat kerja sebagai pengawal peribadi kepada seorang ahli perniagaan bergelar Datuk, tetapi tidak memaklumkan siapa ahli perniagaan dan di mana dia bekerja,” katanya ketika ditemui di rumah anak saudaranya, di sini, semalam.

Salasiah berkata, di peringkat awal pemergian pemuda itu, dia masih dapat berhubung dengan anaknya itu, namun selepas seminggu, Hamid Khan langsung tidak boleh dihubungi.

“Dua tiga hari selepas dia meninggalkan rumah, saya masih dapat menghubunginya, namun selepas seminggu, talian telefon bimbitnya dibatalkan. Dalam tempoh itu, Hamid langsung tidak menghubungi saya,” katanya.
Salasiah turut membuat laporan di Balai Polis Air Tawar, Sitiawan berhubung kehilangan anaknya itu pada 3 Jun lalu. Katanya, sejak anaknya tidak pulang ke rumah, dia pernah dimasukkan ke Hospital Manjung, di Sitiawan akibat serangan jantung.

“Hamid seorang anak yang sangat baik dan menghormati orang tua. Dia tidak pernah melawan, malah jauh sekali meninggikan suaranya terhadap saya.
“Apabila saya menyuruhnya melakukan sesuatu, dia tidak pernah membantah dan selalu menolong membuat kerja rumah.

“Saya kerap membuat solat hajat dan berdoa supaya dapat berjumpa dengannya walaupun dalam mimpi saja,” katanya.

Salasiah meminta orang ramai yang mengenali Hamid Khan supaya memberi maklumat dengan menghubunginya di 012-4034857.

No comments:

Post a Comment