Search This Blog

Sunday, June 24, 2012

Kandungan gugur kerap angkut air

MOHD Adib  membantu    Siti Nur Nabilah   mengangkat baldi dan botol air setiap hari   kerana putus bekalan air di Rumah Pangsa Seberang Terus, Mergong.

MOHD Adib membantu Siti Nur Nabilah mengangkat baldi dan botol air setiap hari kerana putus bekalan air di Rumah Pangsa Seberang Terus, Mergong.
Penduduk rumah pangsa Seberang Terus putus bekalan sejak dua bulan 

ALOR SETAR: Seorang suri rumah mendakwa kandungan sulungnya yang berusia dua bulan keguguran kerana sering mengangkut air ke tingkat tiga rumahnya di Rumah Pangsa Seberang Terus, Mergong, yang terputus bekalan air sejak dua bulan lalu.
Masalah bekalan air di situ berpunca daripada masalah tekanan air rendah yang berlarutan lebih dua bulan menyebabkan bekalan air sering terputus dan sehingga kini belum mendapat perhatian daripada pihak berkuasa kerajaan negeri.
Siti Nur Nabilah Abd Halim, 21, berkata sebaik doktor mengesahkan kandungannya keguguran kerana terlalu banyak pergerakan dan kerja berat, dia hanya mampu meratapi kehilangan cahaya mata pertama yang ditunggu selama lebih setahun hasil perkongsian hidupnya dengan suami, Mohd Adib Haja Najumuddeen, 23. 

Katanya, setiap hari dia dan suami terpaksa berulang alik ke rumah ibu mentuanya di Pumpong di sini, untuk mendapatkan bekalan air bagi kegunaan harian mereka di rumah. 

“Walaupun hamil, saya terpaksa membantu suami kerana ia sudah menjadi rutin harian kami berdua untuk mengangkut air naik ke rumah kami di tingkat tiga. Namun saya langsung tidak menyangka ia akan menyebabkan kandungan saya gugur....hati saya sebak sebaik dimaklumkan doktor bahawa ia disebabkan kerja berat dan terlalu banyak pergerakan. 

"Saya reda dengan ketentuan tuhan dan terima takdir yang menimpa kami sekeluarga. Saya tidak mahu menyalahkan keadaan, namun saya sedih dan langsung tidak sangka ia akan sampai jadi begini ," katanya ketika ditemui di sini, semalam. 
Terdahulu, lebih 30 penduduk rumah pangsa berkenaan mengadakan demonstrasi aman bagi melahirkan kekecewaan mereka berikutan gangguan bekalan air 
yang melanda kawasan perumahan itu. 

Masalah itu dikatakan sudah berlarutan sejak lebih dua bulan lalu membabitkan tiga blok rumah pangsa iaitu blok D, E dan F, namun masih belum mendapat perhatian daripada kerajaan negeri dan pihak bertanggungjawab. 

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Seberang Terus, Rashidi Ani, mendakwa dia sudah mengemukakan laporan berhubung masalah itu ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga ke hari ini. 

Katanya, sebelum ini masalah seperti itu kerap juga berlaku, namun selepas tangki air satu daripada blok di kawasan berkenaan ditukar lebih dua bulan lalu, gangguan bekalan air yang membabitkan 30 keluarga bertambah buruk. 

“Kami amat berharap masalah ini mendapat perhatian pihak bertanggungjawab dengan segera kerana ia benar-benar menyusahkan penduduk yang saban hari terpaksa mengangkut air dari tingkat bawah, selain ada juga yang menumpang mandi di rumah jiran serta ahli keluarga terdekat," katanya. 

Sementara itu, Setiausaha Sulit kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Loh Eng Chong yang ditemui berkata, pihaknya menerima aduan penduduk berhubung gangguan bekalan air di situ sejak dua bulan lalu.

No comments:

Post a Comment