Search This Blog

Thursday, June 21, 2012

Ibu tua merintih rindu anak

TEMERLOH: “Saya terlalu rindukan Junaidi, saya ingin menatap dan memeluknya,” begitu rintihan seorang ibu tua, Noriah Majid, 63, dari Kampung Tanjung Batu, dekat sini, yang terpisah dengan anak lelakinya, Junaidi Juhari, 36, sejak 29 tahun lalu.
Noriah berkata, perasaan ingin menatap dan memeluk Junaidi semakin terasa apabila mengenangkan anak yang dikandung selama sembilan bulan sudah lama tidak ditemuinya.

Katanya, dia percaya Junaidi tinggal bersama adik iparnya, Rahimah Abdul Hamid, 52, yang dikatakan menetap di Gombak, Selangor.
“Junaidi dijaga Rahimah sejak berusia tujuh tahun selepas saya berpisah dengan suami hampir 30 tahun lalu.

“Saya ingin sangat berjumpa Junaidi selewat-lewatnya sebelum menjelang Aidilfitri akan datang bagi melepaskan rindu kerana saya kini uzur.

“Sejak dibawa adik ipar, saya tidak pernah bertemu atau mendengar berita mengenai Juhaidi dan hampir semua dokumen atau gambar anak itu tiada dalam simpanan kerana dibawa Rahimah,’’ katanya.
Noriah yang kini menyara kehidupan dengan berniaga di Pekan Sehari, di sini, setiap hari minggu turut mengambil upah melakukan kerja kampung untuk perbelanjaan hariannya.

Dia meminta adik iparnya itu memaafkannya jika sebelum ini dirinya ada melakukan kesilapan sehingga tidak dapat berjumpa dengan Junaidi.
“Saya sudah tua dan sering sakit, saya minta untuk melihat wajah anak sebelum menutup mata,” katanya.

“Saya tidak mengharapkan harta-benda mereka, sebaliknya ingin menemui darah daging sendiri untuk mendapatkan ketenangan hidup,” katanya.

Selain berniaga, Noriah mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mencukupi menampung kehidupannya kini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengetahui di mana Junaidi berada diminta menghubungi Noriah di talian 017 9064109.

No comments:

Post a Comment