Cemar imej, rumah urut dan pusat hiburan bertambah
Penduduk mahu operasi pusat hiburan dipantau.
SUNGAI BESAR - Kewujudan beberapa pusat refleksologi dan pusat hiburan sekitar Sekinchan dan Sungai Besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk khasnya umat Islam.

Penduduk, Ikhwan Rahim, 35, berkata, kewujudan rumah urut dan pusat hiburan secara tidak langsung akan memberi kesan negatif kepada penduduk.

“Kita lihat ianya semakin berleluasa dan tidak mematuhi waktu operasi ditetapkan. Pada masa sama, kita dengar cerita dari mulut ke mulut, ada pusat urut dan hiburan menawarkan perkhidmatan seks kepada pengunjung.

“Apa yang perlu bagi kita, jabatan dan agensi terlibat perlu berganding bahu membanteras masalah ini terutamanya di Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) sebagai pihak
berkuasa tempatan (PBT) yang mengeluarkan lesen perniagaan kepada premis ini,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Ali Imran Abdullah, 43, menggesa PBT menghadkan jumlah pusat urut dan hiburan itu dalam usaha membendung masalah sosial di kawasan
berkenaan.

“Selain mengehadkan jumlah lesen dikeluarkan, PBT juga perlu melakukan pemantauan berterusan ke atas premis dibenarkan bagi memastikan beroperasi mengikut garis panduan lesen dimohon. Jikagagal, tarik sahaja lesen mereka,” katanya.

Bagi Rohani Hasmi, 34, sebagai anggota masyarakat, beliau bimbang dengan wujudnya pusat hiburan yang banyak di kawasan ini, mempengaruhi anak muda luar bandar berhibur di situ.

“Kadang-kadang sebelum lewat malam lagi seawal jam 8 malam sudah ada gadis berpakaian seksi berjalan masuk ke arah pusat hiburan, kita tidak pasti sama ada mereka pengunjung ataupun bekerja di pusat hiburan.

“Tetapi apa yang pasti, tindakan mereka itu diperhatikan anak-anak luar bandar yang kebanyakannya tidak terdedah dengan gejala sosial berhibur seperti itu dan akhirnya kita bimbang ia menjadi
ikutan dan budaya serta sesuatuyang biasa” katanya.

Sementara itu, MDSB menafikan peningkatan kewujudan rumah urut atau pusat hiburan sekitar daerah Sabak Bernam khususnya di Sungai Besar dan Sekinchan seperti dakwaan penduduk.

Setiausahanya, Hazril Hakim Mohd Yazid berkata, sehingga kini sebanyak enam pusat urutan kategori refleksologi direkodkan kawasan Sekinchan, diikuti empat di Sungai Besar dan satu di Sabak Bernam, manakala empat pusat hiburan di Sekinchan dan tiga di Sungai Besar.

“Daripada jumlah itu, hanya ada dua sahaja lesen pusat hiburan karaoke diberikan sejak 2008 iaitu pada 2009 masing-masing di Sekinchan dan Sungai Besar. Manakala satu pusat refleksologi di Sekinchan pada 2010,” katanya.

Menurut Hazril, segala lesen kritikal dan sensitif seperti pusat refleksologi, pusat siber, snooker, spa, karaoke dan sebagainya terkawal.

“Kita sentiasa mengawal pemberian lesen kritikal dan sensitif ini dan menghadkan pengeluaran lesen. Dakwaan sesetengah pihak mengenai pemberian lesen kritikal dan sensitif tidak terkawal di kawasan pentadbiran MDSB adalah tidak benar kerana tidak mudah untuk kita meluluskan permohonan.

“Ini memerlukan kelulusan di peringkat Jawatankuasa Kawalan Perniagaan dan Perlesenan MDSB sebelum dipanjangkan kepada pihak negeri untuk mendapatkan kelulusan sepenuhnya,” katanya.