Search This Blog

Thursday, June 28, 2012

90 maut dalam tanah runtuh akibat hujan lebat

CHITTAGONG (Bangladesh): Kira-kira 90 orang terbunuh dalam tanah runtuh di tenggara Bangladesh selepas hujan tiga hari menyebabkan banjir kilat dan mengakibatkan sistem pengangkutan putus, semalam.
Ketua Pentadbir wilayah, Sirajul Haq Khan berkata, anggota tentera dikerahkan untuk membantu usaha menyelamat di kawasan bukit bukau Chittagong. 
Dia memberi amaran jumlah mangsa maut akan meningkat sebaik saja jalan dapat disambung kembali di kawasan pedalaman.

Katanya, sekurang-kurangnya 89 orang maut dalam beberapa siri kejadian tanah runtuh dan banjir kilat di sekitar pelabuhan Chittagong dan daerah berdekatan di Cox’s Bazar dan Bandarban.

Pentadbir Bandarban, Tariqul Islam berkata, 32 mayat ditemui daripada beberapa kawasan tanah runtuh.

“Usaha menyelamat sukar kerana komunikasi terputus disebabkan banjir kilat dan hujan lebat,” katanya.

Katanya, 10 daripada mangsa adalah kanak-kanak dan yang lain mengalami kecederaan.

Ketua Polis Bandarban, Saiful Ahmed berkata, kebanyakan mangsa sedang tidur apabila lumpur runtuh dan menimbus mereka.

“Ada yang kehilangan 12 anggota keluarganya,” katanya.

Pegawai di Cox’s Bazar berkata, sekurang-kurangnya 36 orang terbunuh akibat lumpur dan bangunan runtuh.

Penerbangan keluar masuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Shah Amanat, Chittagong ditangguhkan sejak kelmarin.

Menrurut Pusat Informasi Pengurusan Bencana, kira-kira 50,000 orang terlibat akibat banjir dan kebanyakan mereka terpaksa berlindung di tempat tinggi. - AFP

No comments:

Post a Comment