Search This Blog

Thursday, June 7, 2012

6 lagi motosikal dibakar

myMetro | 6 lagi motosikal dibakar:

KUALA LUMPUR: Lagi motosikal disyaki sengaja dibakar, kali ini enam motosikal milik penduduk Pangsapuri Seri Puteri di Seri Petaling, di sini, hangus terbakar, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, kebanyakan penghuni pangsapuri berkenaan sedang tidur.

Seorang penduduk yang enggan dikenali memberitahu, dia kehilangan dua motosikal dalam kejadian itu.
“Salah satu motosikal itu untuk kegunaan anak lelaki saya. Ketika kejadian, semua motosikal berkenaan diletakkan di ruang kosong di tingkat satu tempat letak kereta.

“Selama lebih empat tahun tinggal di sini, kejadian seperti ini tidak pernah berlaku, kalau ada pun hanya kes kecil seperti perbuatan memancit tayar motosikal dan curi minyak,” katanya.

Dalam kejadian sama, tayar sebuah teksi milik S Khanna, 39, yang diletakkan di tingkat bawah berhampiran tempat letak motosikal berkenaan turut ditoreh individu tidak bertanggungjawab.
“Saya hanya menyedari tayar kereta pancit ketika mahu keluar memulakan tugas pada jam 7.30 pagi. Pada mulanya saya menyangka hanya sebiji tayar, tetapi apabila diperiksa didapati tiga lagi tayar turut dipancitkan.

“Saya hairan bagaimana kejadian ini boleh berlaku kerana dikawal pengawal keselamatan dan kejadian berlaku pula hanya kurang 20 meter dari pondok pengawal,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan akan menyiasat sama ada ia berlaku akibat perbuatan khianat atau sebaliknya.

Pada 24 April lalu Harian Metro melaporkan kejadian 21 motosikal hangus dijilat api dipercayai angkara khianat di Flat Seri Selangor, Jalan San Peng di sini.

Kejadian jam 1.30 pagi itu yang ketiga berlaku di sekitar ibu negara selepas enam motosikal milik penduduk dilaporkan terbakar pada jam 8.30 pagi di Bandar Baru Sentul, dua jam selepas kejadian sama membabitkan dua motosikal di Flat Seri Tioman 2, Wangsa Maju.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment