Search This Blog

Wednesday, May 9, 2012

Nenek rentung atas katil

Nenek rentung atas katil - Johor - Sinar Harian:

Nenek rentung atas katil
Kalthum ditemui rentung di atas katil dalam sebuah bilik dalam kejadian kebakaran, semalam.
MUAR – Seorang warga emas menemui ajal dalam keadaan tragis dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Taman Mahkota, Jalan Temenggung Ahmad, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.48 pagi itu, mayat Kalthum Sukaimin, 96, ditemui rentung di atas katil di dalam salah sebuah bilik rumah berkenaan.
Saksi kejadian yang merupakan seorang pemandu van sekolah, Bahar Daud, 40-an berkata, dia menyedari kejadian tersebut berlaku ketika menghantar cicit mangsa pulang.
Menurutnya, dia terkejut apabila ternampak kepulan asap hitam keluar dari bahagian belakang rumah mangsa sebaik sahaja tiba di tempat kejadian.
“Cicit mangsa menjerit memberitahu yang neneknya ada dalam bilik dan meminta saya menyelamatkannya. Dalam keadaan kelam kabut mengambil kunci yang diletakkan di atas rak kasut depan rumah, saya juga terdengar jeritan meminta tolong.
“Saya cuba menyelamatkan mangsa dalam bilik itu bagaimanapun tidak berjaya kerana ketika itu keadaan api terlalu marak,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, cucu mangsa yang enggan dikenali berkata, semasa kejadian dia tiada di rumah kerana menghantar ibunya menjalani pemeriksaan kesihatan bulanan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
“Arwah nenek tidak boleh berjalan kerana menghidap sakit tua sejak beberapa tahun lalu dan ditempatkan dalam bilik itu.
“Saya tinggalkan arwah nenek sendirian di rumah seketika sementara menunggu anak pulang dari sekolah pada jam 11.30 pagi,” katanya.
Dia yang bertugas sebagai seorang doktor di HPSF memberitahu berita sedih itu diterima pada jam 11.50 pagi selepas dihubungi oleh jiran.
“Saya berasa sangat sedih kerana nenek meninggal dunia dalam keadaan yang cukup menyayat hati,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 11, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Mohd Johar Tumin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.58 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan dua jentera bersama 14 anggota termasuk unit forensik.
“Sewaktu kami tiba, api sedang marak di bilik yang menempatkan mangsa dan ruang dapur, manakala sebahagian bumbung rumah telah runtuh.
“Pihak bomba mengambil masa selama 15 minit untuk memadam keseluruhan kebakaran dan menemui mangsa dalam keadaan rentung,” katanya.
Mohd Johar berkata, bagaimanapun punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke HPSF untuk dibedah siasat.

No comments:

Post a Comment