Search This Blog

Thursday, May 17, 2012

Mirza dan Mohammad Rosly lepas dan bebas tuduhan pecah amanah

Mirza dan Mohammad Rosly lepas dan bebas tuduhan pecah amanah - Semasa - Sinar Harian:

mirza
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab (dua, kiri) bersalaman dengan bekas Ketua Pegawai Operasi PEMPENA Mohammad Rosly Md Selamat (kiri) selepas dilepas d
KUALA LUMPUR - Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab dan bekas Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Pelancongan Malaysia Berhad (Pempena) Mohammad Rosly Md Selamat hari ini bebas daripada pertuduhan pecah amanah membabitkan RM888,000, lima tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Che Mohamad Zulkifly Jusoh membebas dan melepaskan Mirza dan Mohammad Rosly tanpa memanggil mereka membela diri terhadap pertuduhan pecah amanah selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Sejurus keputusan itu dibacakan, hampir 100 anggota keluarga dan rakan-rakan Mirza dan Mohammad Rosly yang berada di galeri awam, bertepuk tangan dan bersorak sambil mengucapkan "Alhamdulillah".

Dalam keputusannya, hakim itu berkata mereka berdua tidak melakukan pemecahan kontrak yang tersirat yang diambil daripada kewangan syarikat.

Hakim itu juga  berkata tarikh kesalahan yang tercatat dalam pertuduhan juga tidak jelas.

"Di dalam kertas pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 27 Feb 2007 dan pihak pendakwaan hanya bergantung kepada keterangan dokumen iaitu "Remittance Advice" yang ditandatangani oleh mereka bertarikh 26 Jan 2007, sedangkan pertuduhan pada 27 Feb 2007, jadi tarikh pertuduhan tidak jelas," katanya.

Mirza, 56, dan Mohammad Rosly, 59, didakwa melakukan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran RM888,000 ke akaun LCL Interior Dubai pada 27 Feb 2007 bagi projek pembinaan Restoran Malaysia di Dubai tanpa mematuhi syarat yang ditetapkan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Pempena di Tingkat 3, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra pada 27 Feb 2007 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.

Seramai 13 saksi pendakwaan termasuk Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan bermula 28 Julai tahun lepas.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi manakala peguam Saseedharan Menon mewakili Mirza dan Rejender Singh mewakili Mohammad Rosly.

Ketika ditemui pemberita di luar, Mirza dan Mohammad Rosly mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat terutama barisan peguam, anggota keluarga dan rakan-rakan yang memberi sokongan.

Pada 24 Julai 2009, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebas Mirza di akhir kes pendakwaan tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan rasuah.- Bernama

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment