Search This Blog

Thursday, April 5, 2012

Puting beliung landa Amerika Syarikat, 17 cedera



HOUSTON 4 April - Sekurang-kurangnya 17 cedera apabila lebih 12 puting beliung melanda bandar raya Dallas dan Forth Worth yang padat dengan penduduk semalam, mengakibatkan bumbung rumah terbang serta menerbangkan trak ke udara.
Menurut pakar meteorologi Perkhidmatan Kaji Cuaca Kabangsaan, Jesse Moore, 10 daripada 12 puting beliung tersebut melanda kawasan yang padat dengan penduduk.
Kira-kira 6.3 juta penduduk di kawasan terlibat terpaksa menyelamatkan diri apabila angin kencang dibawa puting beliung melanda tengah hari semalam, ketika orang ramai berada di tempat kerja dan sekolah.
Bencana itu turut menyebabkan bekalan elektrik terputus di sekitar Dallas dan Fort Worth, bandar raya keempat dihuni paling ramai penduduk dengan enam juta orang.
Di bandar Arlington, tujuh penduduk dilaporkan cedera, kebanyakannya hanya mengalami kecederaan ringan, namun seorang mangsa yang dihempap pokok berada dalam keadaan kritikal.
Kerosakan paling ketara berlaku di Lancaster, selatan Dallas, apabila lebih 300 kediaman dan premis rosak.
Jurucakap polis Lancaster, Paul Beck berkata, lebih 10 orang cedera di bandar itu, dengan dua daripadanya parah.
"Kejadian puting beliung itu berlaku secara tiba-tiba selepas hujan lebat dan hujan batu berlaku,'' ujar saksi, Jonathan Cook kepada CNN.
Sementara itu, syarikat pembekal tenaga elektrik, Oncor melaporkan, lebih 48,000 penduduk di Arlington terputus bekalan elektrik, manakala polis Dallas pula memberi amaran kepada penduduk supaya menjauhi kabel elektrik.
Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Dallas-Fort Worth menyatakan, kejadian tersebut turut menyebabkan lebih 400 penerbangan terpaksa dibatalkan. - AFP

No comments:

Post a Comment