Search This Blog

Thursday, April 5, 2012

Mati kaku dalam gaung

myMetro | Mati kaku dalam gaung:

SEREMBAN: Seorang lelaki yang terbunuh selepas tersepit di tempat duduk pemandu keretanya dipercayai terbabas dan melanggar pokok sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam lima meter di Jalan Mambau-Port Dickson berhampiran Kampung Bemban di sini, ditemui selepas hampir 12 jam kemalangan berlaku, semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin, Ravindran Jeyaram Naidu, 41, kontraktor di ibu kota, mati di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala dan badan.

Proton Satria Neo yang dipandunya ditemui seorang lelaki yang mencari pokok pisang lalu menghubungi polis kira-kira jam 11.40 pagi semalam. Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis dan bomba bergegas ke lokasi kejadian dan menemui kereta berkenaan dalam sungai.
Jurucakap polis berkata, pemeriksaan menemui seorang lelaki tersepit di tempat duduk pemandu.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai datang dari ibu kota menuju pulang ke rumah ibunya di Port Dickson apabila kereta dipandunya terbabas di tempat kejadian ketika hujan lebat.

“Mangsa yang gagal mengawal kereta itu dipercayai merempuh pokok dan terjunam ke dalam gaung,” katanya di sini, semalam.
Bagaimanapun polis masih menunggu laporan bedah siasat mayat mangsa yang dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) bagi memastikan punca kematian.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Khairuddin Mohammad berkata, pihaknya terpaksa mengumpil pintu kereta untuk mengeluarkan mayat mangsa.
“Mayat lelaki itu ditemui dengan dipenuhi sampah dipercayai dibawa air sungai berkenaan. Kita mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Inspektor Mohd Hafidzal Zainal Abidin di talian 06-6033222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment