Search This Blog

Wednesday, April 11, 2012

Empat kenderaan disita dalam operasi bersepadu JPJ

KEMAMAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menyita empat kenderaan dalam operasi bersepadu bersama 12 agensi kerajaan lain dekat Kijal malam tadi.
Pengarahnya, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, sebanyak 1,801 kenderaan diperiksa di empat lokasi termasuk di hadapan Stesen Penguatkuasa JPJ Kijal, di sini.
"Sebanyak 107 saman dan 78 notis dikeluarkan akibat pelbagai kesalahan teknikal melibatkan pemandu dan kenderaan seperti penggunaan cermin gelap dan saiz nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi dibenarkan.

"Empat kenderaan yang disita pula adalah kerana kesalahan tiada cukai jalan, tiada lesen memandu dan nombor entiti kenderaan yang diubahsuai," katanya pada sidang akhbar selepas operasi selama lapan jam itu.


Operasi bersepadu itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negara (SPRM) dan Jabatan Kesihatan.

Turut serta dalam operasi itu ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Lembaga Penapisan Filem (LPF), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Lembaga Padi dan Beras negara (LPN) yang membabitkan 119 pegawai. - Bernama

No comments:

Post a Comment