Search This Blog

Thursday, March 29, 2012

Suami didakwa bunuh Suzila

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:


KUALA LUMPUR 28 Mac - Seorang penjaga tempat letak kereta di Jalan Raja Laut didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh isterinya yang hamil cahaya mata pertama mereka, dua minggu lalu.
Johari Ahmad, 42, didakwa membunuh Suzila Sabtu, 28, di rumah mereka di B-8-9, Pangsapuri Permai, Jalan Landai Permai, Sungai Besi di sini di antara pukul 3.30 petang dan 6.41 petang, 16 Mac lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, S. Malini Anne mengemukakan pertuduhan ke atas lelaki itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang mengenakan jaket hitam kelihatan tenang dan mengangguk kepala tanda faham selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Difahamkan tertuduh berkahwin dengan mangsa yang bekerja sebagai Eksekutif Percukaian, September tahun lalu dan mangsa dikatakan sedang mengandung lapan minggu ketika kejadian.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 29 Mei ini sementara menunggu laporan bedah siasat.
Dalam kejadian itu, mangsa ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu, dipercayai dikelar oleh suaminya sendiri.
Sejurus selepas kejadian, lelaki itu juga dipercayai menghubungi salah seorang rakannya untuk memaklumkan bahawa dia telah membunuh isterinya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment