Search This Blog

Wednesday, March 28, 2012

Rakyat India seludup 10.05kg syabu ditahan

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


SEPANG 27 Mac - Seorang lelaki warganegara India menjadikan pengalamannya yang pernah bekerja sebagai pencuci di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini, selama tiga tahun untuk menyeludup masuk dadah ke negara ini.
Namun perbuatannya itu tidak kesampaian apabila dia diberkas bersama 10.05 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM2.51 juta melalui lapangan terbang itu kelmarin.
Timbalan Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA, Siti Baya Berahan berkata, siasatan mendapati suspek berusia 42 tahun itu pernah bekerja di LCCT kira-kira 10 tahun lalu malah, fasih berbahasa Melayu.
"Dia ditahan bahagian penguatkuasaan selepas tiba dari Kolkata, India pada pukul 12.30 tengah malam.
"Hasil pemeriksaan menemui dadah itu disembunyikan di dalam satu lapisan kotak berisi ketuhar gelombang mikro yang dibawanya," katanya pada sidang akhbar di pejabat JKDM di KLIA di sini hari ini.
Menurut Siti Baya, selain itu, pihaknya turut mengagalkan cubaan seorang lagi lelaki rakyat negara tersebut yang menggunakan pesawat sama untuk menyeludup dadah jenis syabu seberat 5.04 kilogram bernilai RM1.26 juta.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek pertama dan kedua itu tiada kaitan antara satu sama lain dan bergerak secara berasingan.
"Suspek kedua berusia 35 tahun itu pertama kali masuk ke negara ini. Dia ditahan selepas pihak kami menemui satu bungkusan putih yang disyaki syabu disorok di bahagian bawah bagasi miliknya," ujarnya.
Dalam kes berasingan, Siti Baya berkata, pihaknya menumpaskan dua lagi kes penyeludupan dadah dipercayai syabu membabitkan warganegara India dan Nigeria juga di LCCT dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
"Kes ketiga membabitkan lelaki warganegara India itu berusia 51 tahun yang ditahan pukul 2 pagi selepas tiba dari Bangalore di LCCT.
"Hasil pemeriksaan terhadap bagasi miliknya menemui satu bungkusan berwarna putih disyaki syabu seberat 3.98 kilogram bernilai RM995,000 disorokkan di bawah beg tersebut," ujarnya.
Beliau berkata, kes terakhir pula melibatkan seorang lelaki Nigeria berusia 22 tahun yang mengaku sebagai pelajar di salah sebuah akademi pelancongan di ibu negara ditahan selepas menaiki pesawat dari Kaherah-Bangkok-KLIA.
"Suspek ditahan oleh sepasukan anggota kita di unit pemeriksaan penumpang satu (MTB) KLIA dan hasil pemeriksaan menemui satu bungkusan putih disyaki syabu seberat 500 gram bernilai RM125,000 disorok di dalam ruangan khas bagasi itu," katanya.
Katanya, kesemua suspek direman selama 14 hari untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati mandatori.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment