Search This Blog

Friday, March 16, 2012

Pemandu protes kenaikan harga minyak



MANILA 15 Mac - Beratus pemandu, pengguna dan aktivis berhaluan kiri hari ini mengadakan demonstrasi di ibu negara Filipina ini bagi menuntut kerajaan mengambil tindakan membantu rakyat berikutan kenaikan harga minyak.
Kira-kira 50 kenderaan menyertai satu konvoi bantahan bergerak dari Quezon di pinggir bandar Manila, ke pusat kewangan di Makati City di mana penunjuk perasaan berpiket di pejabat sebuah syarikat minyak, sekali gus mengganggu lalu lintas.
Di bahagian-bahagian lain Manila, beratus penunjuk perasaan berarak ke Dewan Perwakilan dan Istana Presiden untuk menuntut kerajaan menurunkan cukai nilai tambah sebanyak 12 peratus yang dikenakan ke atas bahan bakar.
Menurut Jabatan Tenaga, harga minyak telah meningkat sebanyak 12 peratus sejak awal tahun ini.
''Sudah tiba masa bagi pengguna untuk mengambil pendirian terhadap kenaikan harga minyak mingguan dan kerajaan yang tidak prihatin,'' kata Setiausaha Agung Bagong Alyansang Makabayan atau gerakan nasionalis baru, Renato Reyes.
Reyes juga menggesa kerajaan untuk meluluskan rang undang-undang di Kongres untuk menghapuskan, mengurangkan atau menggantung cukai nilai tambah ke atas minyak bagi mengawal harga produk petroleum.
Beberapa bandar di Manila menggantung beberapa sesi persekolahan di tengah-tengah kebimbangan demonstrasi akan melumpuhkan lalu lintas dan mengakibatkan pelajar terkandas.
Pihak berkuasa juga menyediakan trak dan bas sebagai pengangkutan di kawasan yang terjejas secara percuma. - DPA

No comments:

Post a Comment