Search This Blog

Saturday, March 24, 2012

Nelayan didenda RM7,000 akibat beri suapan RM300

Nelayan didenda RM7,000 akibat beri suapan RM300 - Perak - Sinar Harian:IPOH – Seorang nelayan didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mengaku salah atas tuduhan pilihan memberi suapan RM300 kepada seorang anggota JPJ bagi melindungi tiga kesalahan, tahun lalu.

Hakim Julie Lack Abdullah turut memerintahkan Cheng Weai Loun, 23, supaya menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Sebelum menjatuhkan hukuman itu, beliau sempat memberi peringatan kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesilapan sama.

Weai Loun didakwa atas tuduhan memberi suapan RM300 kepada Pembantu Penguatkuasa, Mohammad Ruzaimi Khairi Rusam dari JPJ Negeri pada jam 11.50 pagi, 9 Mei 2011.

Wang itu didakwa diberikan sebagai dorongan agar anggota JPJ itu tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pekerjanya seorang warganegara Indonesia, Jefri Dakosta.

Berdasarkan fakta kes, Jefri Dakosta memandu lori ikan yang mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain, tidak mempunyai cukai jalan yang sah dan tiada perlindungan insurans dan dia melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah selepas pendakwaan pendakwaan terhadapnya yang dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mana yang lebih tinggi.

Dia bagaimanapun menukar pengakuan kepada bersalah apabila ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara satu perempat daripada tempoh maksimum kesalahan asal atau kedua-duanya. Pendakwaan dikendalikan Pendakwa SPRM, M Kathan.
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment