Search This Blog

Monday, March 26, 2012

Kenyataan lima remaja diambil


SHAH ALAM 25 Mac - Polis sudah mengambil kenyataan lima remaja warga Myanmar yang ditemui bersama Nazatul Fardiana Mohd. Norizwan, 15, di Bangkok, Thailand baru-baru ini selepas remaja itu dilaporkan hilang pada Januari lalu.
Selain itu, polis turut mengambil keterangan Nazatul Fardiana dan ibu bapanya bagi melengkapkan siasatan kes itu.
Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zahedi Ayob, polis sedang menyiasat secara terperinci setiap kenyataan yang diambil daripada remaja-remaja itu yang sebelum ini dikatakan diculik untuk dijadikan pelacur.
"Percanggahan antara mereka yang diambil kenyataan dalam kes ini memang ada. Kita sekarang sedang menyiasat untuk mengesahkan sama ada betul atau tidak keterangan yang diberikan dan ia akan dimaklumkan pada sidang akhbar dalam tempoh terdekat.
"Polis akan siasat secara terperinci kejadian ini bermula dari hari Nazatul Fardiana dilaporkan hilang sehingga dia ditemui semula iaitu dalam tempoh sebulan," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Polis Ke-205 peringkat Kontinjen Selangor, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah.
Nazatul Fardiana dilaporkan hilang sejak 30 Januari lalu setelah ibunya, Norazura Roski, 37, menghantar mangsa ke sebuah perhentian bas di Seksyen 9 di sini untuk ke rumah rakannya.
Remaja itu menghubungi ibunya pada 12 Mac lalu memaklumkan dia berada di Thailand selepas diculik sekumpulan lelaki di stesen bas di Seksyen 9 di sini dan berjaya melarikan diri sebelum diselamatkan Polis Thailand pada 11 Mac di Stesen Keretapi Hua Lampong, Bangkok, bersama-sama lima remaja Myanmar.
Lima remaja berusia antara 14 dan 17 tahun itu telah dibawa pulang ke negara ini pada Jumaat lalu untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Zahedi berkata, siasatan kes tersebut hampir siap dan menjurus kepada Seksyen 366 Kanun Keseksaan iaitu menculik untuk tujuan pelacuran atau melakukan persetubuhan luar nikah.

No comments:

Post a Comment