Kejadian banjir masih berlaku
MENTAKAB – Kerajaan membelanjakan hampir RM1 juta untuk menjalankan kerja tebatan banjir dan baik pulih kerosakan kawasan perumahan Taman Mentakab Indah sejak ia dibuka lebih 15 tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin berkata, walaupun jumlah peruntukan itu terlalu besar, tetapi kejadian banjir kilat masih berlaku berikutan projek pembangunan di sekeliling kawasan perumahan itu masih dilaksanakan.
Menurutnya, masalah banjir kilat sebelum ini sudah berjaya diatasi, namun projek pembangunan perumahan dan kedai di sekeliling kawasan terbabit menyebabkan banjir kilat berlaku kembali.
“Oleh itu, kita minta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengkaji setiap kebenaran merancang pembangunan sebelum meluluskan sesuatu projek kepada pemaju,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas mengenai kejadian banjir kilat yang berlaku di Taman Mentakab Indah, baru-baru ini.
Mohd Sharkar berkata, pada masa sama kerajaan juga sedang berusaha menggunakan kaedah lain dengan membaiki sistem perparitan dan lencongan anak Sungai Netas ke luar daripada kawasan perumahan terbabit.
Beliau berkata, kaedah itu difikirkan sesuai dan mampu mengatasi masalah banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan terbabit.
Selain itu katanya, beliau mencadangkan pemilik rumah yang sudah tidak tahan dengan kejadian banjir supaya berpindah dan mendapatkan rumah mampu milik.
“Ia hanya cadangan kerana mereka tetap kena bayar sejumlah wang untuk memiliki rumah mampu milik melalui perbincangan dengan Kerajaan Negeri,” katanya.