Search This Blog

Sunday, March 18, 2012

Kapal buang sisa pepejal ditahan

Utusan Malaysia Online - Jenayah:JOHOR BAHRU 17 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal tangki dipercayai melakukan kerja-kerja pembersihan sisa minyak pepejal secara haram di Tanjung Stapa Pengerang, Kota Tinggi di sini semalam.
Kapal tangki MT Fortune yang dipercayai dari Batam, Indonesia itu ditahan di kedudukan 3.4 batu nautika di selatan Tanjung Stapa semasa melakukan aktiviti tersebut pada pukul 11 malam.
Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata, kapal tangki yang berada dalam keadaan mencurigakan itu ditahan semasa pihaknya menjalankan rondaan di kawasan tersebut.
“Semasa kita menghampiri kapal itu, pihak Maritim Malaysia terhidu bau minyak dan hasil siasatan mendapati beberapa anak kapal sedang melakukan kerja pembersihan tangki.
“Hasil pemeriksaan ke atas kapal yang turut membawa 11 anak kapal warga Indonesia itu, sebanyak 300 hingga 400 guni sisa minyak pepejal ditemui di atas geladak kapal,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.
Tambahnya, siasatan awal juga mendapati kapten kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen serta kebenaran untuk melakukan pemindahan sisa minyak pepejal terjadual tanpa kebenaran.
‘‘Mereka juga gagal melaporkan ketibaan kapal dalam perairan negara dan percaya aktiviti mencuci tangki itu dilakukan pada waktu malam hingga awal pagi,” katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment