Search This Blog

Sunday, March 11, 2012

Geng Warek tersilap pilih mangsa

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


BATU PAHAT 10 Mac - Geng Warek yang aktif mencuri kenderaan tumpas dalam pertemuan buku dengan ruas apabila ketua mereka tersilap memilih mangsa, seorang pekerja pusat snuker di Ayer Hitam di sini baru-baru ini.
Ketua geng tersebut yang dikenali sebagai Warek dicekup pekerja itu bersama kaki snuker lain dengan bantuan kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit setelah suspek melarikan motosikal milik abang pekerja itu.
Penahanan suspek pada 26 Februari lalu membantu polis menahan lima lagi ahli geng itu di Rengit, Benut, Simpang Renggam dan Kota Tinggi pada hari yang sama sehingga 2 Mac lalu.
Kesemua suspek berusia antara 25 hingga 46 tahun, dua daripadanya penagih dadah, aktif mencuri kenderaan terutamanya motosikal dan lori di Ayer Hitam, Kulai dan Simpang Renggam sejak Ogos lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad, pekerja itu meletakkan motosikal berkenaan di hadapan premis tersebut pada pukul 8 malam, 26 Februari lalu sebelum memulakan kerja shif malam di tingkat atas bangunan itu.
Katanya, pemuda berusia 23 tahun itu kemudiannya ternampak rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki cuba mengumpil dan melarikan motosikal Honda EX5 tersebut pada pukul 1.40 pagi.
Menurut Din, pekerja itu bersama rakan dan kaki snuker lain kemudian menaiki sebuah kereta mengejar suspek yang melarikan motosikal tersebut menuju ke arah lebuh raya.
"Mereka berjaya menahan suspek bersama motosikal yang dicuri pada pukul 1.50 pagi di Kilometer 77.2, Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Machap dan Ayer Hitam menghala ke selatan.
"Mereka kemudian menghubungi polis untuk tindakan lanjut dan pemeriksaan polis turut menemui kunci 'allen' yang diasah tajam, spanar, pemutar skru dan pisau lipat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Din berkata, polis turut merampas empat lori jenis Ford dan Super Delta Daihatsu dengan nombor pendaftaran palsu atau nombor casis diganggu, dua kepala lori jenis Ford dan Daihatsu, enjin lori dan peralatan mencuri kenderaan.
Polis yakin, sekurang-kurangnya tujuh kes curi kenderaan diselesaikan menerusi kejayaan menumpaskan Geng Warek.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika disabit kesalahan.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment