Search This Blog

Thursday, March 29, 2012

Dua mati lemas, pelancong asing hilang

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


BESUT 28 Mac - Dua pelancong tempatan mati lemas manakala seorang pelancong asing dikhuatiri hilang ketika sedang mandi di perairan Pulau Perhentian Kecil berhampiran Pantai Pasir Panjang petang ini.
Mangsa, Ahmad Salman Reza Mohd. Zali, 27, dari Setapak, Kuala Lumpur dan rakannya, Mohd. Nadrul Mohd. Sabani, 26, dari Gombak dipercayai diheret arus dasar laut.
Kejadian berlaku apabila mereka dikatakan berenang ke tengah untuk cuba menyelamatkan seorang pelancong asing yang dalam keadaan kepayahan kira-kira 60 meter dari pantai.
Namun nasib pelancong asing itu dan identitinya masih belum dapat dipastikan sehingga awal malam ini, difahamkan tiada laporan polis diterima.
Seorang rakan mereka, Zulkifli Ali, 28, ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Besut malam ini memberitahu, mereka bertolak dalam kumpulan seramai tujuh orang dengan dua buah kereta dari Kuala lumpur.
Enam daripada mereka merupakan rakan sepejabat di sebuah syarikat yang berkaitan dengan pengendalian laman web kerajaan dan percutian mereka selama tiga hari dua malam diuruskan oleh Mohd. Nadrul.
''Setelah menaiki bot dari Besut, kami tiba di Pulau Perhentian dan mendaftar masuk di Calet Muhsin kira-kira pukul 11 pagi, seterusnya kami makan tengah hari dan menghabiskan masa seketika bermain karom.
''Kira-kira pukul 3 petang, enam daripada kami turun untuk mandi-manda di pantai dan setengah jam kemudian, kedua-dua rakan saya cuba menyelamatkan seorang pelancong asing yang lemas tidak jauh dari mereka.
''Masa itulah arus dasar telah menarik kedua-duanya dan mereka tenggelam timbul. Rakan-rakan nampak dan berusaha berenang untuk membantu," katanya.
Katanya, Mohd. Nadrul berjaya ditarik ke pantai dan usaha menyelamat dilakukan dengan kaedah pemulihan pernafasan dan jantung (CPR) termasuk oleh seorang pelancong asing tetapi tidak berjaya.
''Dalam kekalutan itu, ramai tidak menyedari Ahmad Salman turut tenggelam dan hilang dari pandangan sehinggalah mereka dikejutkan oleh seorang penduduk kampung.
''Penduduk kampung itu menghulurkan jam tangan milik Ahmad Salman sambil memberitahu rakan mereka juga lemas dan tidak dapat diselamatkan," ujarnya.
Dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Daerah Besut untuk dibedah siasat kira-kira pukul 7.20 malam ini.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment