Search This Blog

Monday, March 26, 2012

Budak hantar SMS ugutan


JOHOR BAHRU 25 Mac - Negara baru-baru ini dikejutkan dengan kisah tragis kanak-kanak Nurul Nadirah Abdullah, 5, yang ditemui dibunuh dan dibakar di sebuah rumah terbengkalai di Nusa Damai, Masai pada 8 Mac lalu.
Kes Nurul Nadirah yang lebih dikenali sebagai Dirang itu menjadi tumpuan sehingga ada pihak yang bertindak menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan meminta wang tebusan kepada ibu kanak-kanak itu, Roselyn Alan, 25.
Namun, polis hari ini mengesahkan SMS ugutan tersebut sebenarnya dihantar oleh dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.
Berikutan usia kanak-kanak itu, kes ugutan tersebut terpaksa ditutup kerana ia tidak menjadi satu kesalahan seperti diperuntukkan Seksyen 83 Kanun Keseksaan.
Utusan Malaysia difahamkan, kanak-kanak terlibat mengambil kesempatan menghantar SMS ugutan itu kepada Roselyn selepas membaca laporan akhbar berhubung kehilangan Dirang.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, mengikut Seksyen 83 Kanun Keseksaan, tidak menjadi kesalahan apa-apa jua yang dilakukan oleh kanak-kanak berusia lebih 10 tahun tetapi kurang daripada 12 tahun kerana belum cukup akal untuk menimbangkan keadaan dan akibat.
Katanya, kertas siasatan sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP), namun kes ini terpaksa ditutup kerana ia dihantar oleh kanak-kanak berusia 11 tahun.
''Seorang lelaki dan pasangannya yang merupakan warga asing ditahan di Kota Bharu, Kelantan dan siasatan mendapati SMS itu dihantar oleh anak lelaki itu dan rakan sebaya kanak-kanak tersebut,'' ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sambutan Hari Polis Ke-205 Kontinjen Johor yang dihadiri lebih 2,000 pegawai dan anggota polis negeri ini di Setia Indah di sini hari ini.
Pada 16 Mac lalu, Polis Kelantan menahan seorang bekas tentera di rumahnya di Kampung Belukar, Pulai Chondong, Machang pada pukul 3 pagi kerana disyaki terlibat menghantar SMS berbaur ugutan kepada Roselyn pada 8 Mac lalu.
Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas tiga telefon bimbit termasuk satu daripadanya yang digunakan suspek ketika menghantar SMS berkenaan kepada Roselyn.
Suspek kemudian direman selama tiga hari sehingga 18 Mac dan diserahkan kepada Polis Johor untuk tindakan lanjut.
Nurul Nadirah yang dilaporkan hilang pada 1 Mac lalu ditemui mati dibunuh dan dibakar dalam sebuah lubang di tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai pada hari yang sama SMS ugutan diterima.
Polis mengesahkan mayat rentung yang ditemui adalah Dirang pada 12 Mac lalu selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan terhadap rangka terbabit sepadan dengan DNA Roselyn.

No comments:

Post a Comment