Search This Blog

Saturday, March 31, 2012

Bebas 10 tuduhan

myMetro | Bebas 10 tuduhan:

SHAH ALAM: “Syukur Alhamdulillah. Keadilan berpihak kepada saya,” kata bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Abdul Hanan Alang Endut, 60, selepas Mahkamah Sesyen di sini, melepas dan membebaskannya daripada 10 tuduhan rasuah berjumlah RM59,390.60.
Sambil melahirkan rasa gembira di atas keputusan itu, Abdul Hanan dilihat sedikit emosi ketika dihampiri ahli keluarga termasuk isteri, Datin Norihan Ahmad, 59, selepas selesai prosiding semalam. Bagaimanapun katanya, beliau sedar ada kemungkinan pihak pendakwaan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi. Terdahulu, Hakim M Bakri Abd Majid, membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Hanan.

Sepanjang perbicaraan pada peringkat kes pendakwaan, 24 saksi tampil memberi keterangan.
Mengikut pertuduhan, Abdul Hanan didakwa menerima suapan iaitu cek kosong milik pemilik sebuah syarikat, Adam Omar sebagai ganjaran meluluskan permohonan ‘TechnoFund’ daripada Global Goodway (M) Sdn Bhd di Jalan 17/21 Seksyen 17, Petaling Jaya, antara 1 hingga 15 Disember 2009.

Beliau dituduh menggunakan cek itu antara 15 Disember 2008 hingga 27 Februari 2009 untuk membuat bayaran pembaikan rumahnya bernilai RM15,024 dan membayar zakat pendapatannya pada 2008 berjumlah RM25,000.

Abdul Hanan juga dituduh menggunakan cek berkenaan untuk menjelaskan bil kad kredit, cukai taksiran, cukai tanah, caj perkhidmatan, bil air dan memasukkan wang ke dalam akaun isterinya yang keseluruhannya membabitkan RM59,390.60.
Bagi setiap pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dihukum di bawah Seksyen 16 Akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. Pada prosiding semalam, Abdul Hanan diwakili peguam Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah, Badrul Munir Bukhari dan Sarah Abishegam.
Sementara itu, M Bakri pada penghakimannya berkata, adalah tidak selamat untuk memutuskan cek diterima Abdul Hanan sebagai rasuah kerana ia lebih kepada pinjaman.

Katanya, ada perjanjian bertulis berhubung pemberian 10 cek itu apabila Abdul Hanan membayar pinjaman berkenaan selepas beliau pencen dan mendapat gratuiti.

Selain itu katanya, pemberian 10 cek itu yang dapat dikesan antara lain menjadi bukti ia bukan rasuah.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment