Search This Blog

Saturday, March 31, 2012

Mahkamah tolak rayuan syarikat pembalakan

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:


PUTRAJAYA 30 Mac – Seruan Gemilang Makmur Sdn. Bhd. (SGM) semalam gagal dalam usahanya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang membenarkan tuntutan balas Badan Perhubungan UMNO Pahang berhubung perjanjian pengeluaran kayu balak di tanah milik parti itu.
Ia berikutan keputusan panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Sulong Matjeraie yang bersidang bersama Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Wira Mohtarudin Baki yang menolak rayuannya secara sebulat suara.
Dengan keputusan itu, syarikat pembalakan tersebut selaku perayu perlu membayar jumlah ganti rugi yang ditaksirkan mencecah RM70 juta termasuk faedah.
Panel itu berpuas hati bahawa tiada kebenaran diperoleh SGM untuk mengeluarkan kayu balak dari Blok A2, Nenasi, Pekan.
SGM merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 16 Jun tahun lalu yang membuat keputusan memihak kepada Badan Perhubungan UMNO Pahang ketika membenarkan tuntutan balasnya.
Hakim Datuk Mariana Yahya memutuskan bahawa perjanjian bertarikh 2 Oktober 2000 di antara responden dengan syarikat pembalakan tersebut adalah terbatal dan tidak sah.
Ketika membenarkan tuntutan balas Badan Perhubungan UMNO Pahang, hakim tersebut turut berpuas hati bahawa hanya isu ganti rugi yang akan ditaksirkan.
Badan Perhubungan UMNO negeri bagaimanapun mengemukakan tuntutan balas bagi mendapatkan perisytiharan bahawa perjanjian itu terbatal dan tidak sah.
Responden turut menuntut agar keuntungan dan faedah yang ditaksirkan sebanyak RM1.5 juta yang diperoleh oleh SGM berikutan pengeluaran balak di kawasan seluas 404.7 hektar, dikembalikan kepada responden.
Badan Perhubungan UMNO Pahang diwakili oleh peguam-peguam Toh Seng Soon, Ong Siew Wan dan Wong Fook Yong manakala SGM diwakili oleh Datuk Harpal Singh Grewal.

'via Blog this'

Pecah amanah libatkan RM12 juta

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:


KUALA LUMPUR 30 Mac - Bekas peguam dan anak lelakinya masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah melibatkan wang RM12 juta milik tabung amanah Orang Asli Jakun, 12 tahun lalu.
S. Kanawagi, 67, didakwa atas 12 pertuduhan manakala anaknya Dinesh Kanavaji, 34, menghadapi satu pertuduhan.
Kanawagi didakwa sebagai pemegang amanah kepada Tabung Amanah Linggui Valley Orang Asli (Jakun) yang diamanahkan harta tersebut dengan curang meluluskan pengeluaran wang RM7 juta daripada tabung amanah tersebut bagi pembelian 27 unit kondominium di Lanai Gurney di sini bagi kepentingan syarikat Virgin Properties.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat tertuduh, firma guaman Tetuan Khana & Co., No.3, Jalan Abdullah, Persimpangan Jalan Bangsar di sini di antara 14 Julai 2008 dan 13 Julai 2009.
Sementara Dinesh selaku ahli lembaga pengarah syarikat Virgin Properties turut didakwa bersubahat dengan bapanya dalam perbuatan tersebut.
Bagi tuduhan kedua dan ketiga, Kanawagi didakwa memindahkan wang RM376,213.25 daripada akaun tabung amanah daripada Bank Pertanian ke dalam akaun persendirian miliknya di bank yang sama antara 17 Januari dan 28 Februari 2004.
Bagi tujuh pertuduhan lain, lelaki itu didakwa mengeluarkan sebanyak RM2,500,163 daripada akaun tabung amanah tersebut di bank yang sama antara 29 November 2001 dan 28 April 2008.
Bagi tuduhan terakhir, Kanawagi didakwa mengeluarkan wang sebanyak RM2.2 juta untuk dibayar kepada Hamzah Mohamed Tahir, 66, antara 20 Julai 2000 dan 4 September 2000.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan oleh Kanawagi di firma guamannya.
Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan dan juga denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, C. Vignesh Kumar mencadangkan jaminan RM1.2 juta untuk Kanawagi beserta dua penjamin warga tempatan manakala RM700,000 bagi Dinesh dengan seorang penjamin tempatan.
Peguam, Manjeet Singh Dhillon yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan jaminan bertujuan memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah dan bukan sebagai hukuman kerana mereka masih lagi tidak dibuktikan bersalah.
Hakim Mahmud Abdullah kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan masing-masing RM700,000 dan RM200,000 setiap seorang dan menetapkan 15 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Dinesh dibebaskan selepas membayar jaminan namun bapanya dihantar ke Penjara Kajang selepas gagal membayar jaminan memandangkan wang yang dimiliki tidak mencukupi.

'via Blog this'

9 ahli Geng Topeng dicekup

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


MOHMAD Salleh menunjukkan barang rampasan dalam dua serbuan kes pecah rumah di kondominium mewah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 30 Mac - Polis berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah dikenali sebagai 'Geng Topeng' yang aktif melakukan rompakan menggunakan parang dengan tertangkapnya sembilan pemuda dalam dua serbuan berasingan di ibu negara baru-baru ini.
Perompak yang bergerak menaiki kenderaan menggunakan nombor pendaftaran palsu antara pukul 8.30 pagi dan 3.30 pagi keesokan hari, akan memakai topeng sebaik sahaja menemui rumah sasaran untuk disamun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, suspek akan memakai topeng muka sebelum memanjat pagar atau tembok dan terus memasuki rumah mangsa melalui pintu utama yang terbuka atau tidak berkunci.
Beliau berkata, suspek bersenjatakan parang akan mengikat mangsa sebelum menggeledah rumah untuk mencari barang berharga seperti wang, barang kemas, komputer riba, telefon bimbit dan jam tangan.
"Jika ada peluang, penjenayah akan melarikan kereta mangsa. Sepanjang aktif melakukan jenayah tersebut, Geng Topeng sudah mendapat hasil rompakan melebihi setengah juta ringgit," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mohmad berkata, lima suspek berusia antara 18 dan 30 tahun itu diberkas hasil maklumat orang awam di kawasan Batu Caves dekat sini pada pukul 12.30 tengah hari, 19 Mac lalu, diikuti dua lagi tangkapan pada pukul 5 petang, kelmarin.
Beliau berkata, hasil tangkapan, polis menemui semula tiga kereta yang dicuri mereka iaitu BMW, Mercedes-Benz dan Perodua Myvi yang ditinggalkan di tepi jalan.
Katanya, turut dirampas ialah seketul emas yang telah dileburkan bernilai RM18,000, tujuh keping nombor pendaftaran kenderaan, masing-masing lima bilah parang dan topeng muka, sebilah pisau serta peralatan pecah rumah menyerupai kuku kambing.
"Seorang suspek disahkan mempunyai rekod jenayah berkaitan kes rompakan, pecah rumah dan dadah. Kesemua suspek ditahan direman sehingga hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah," katanya.
Mohmad berkata, polis kini memerlukan kerjasama orang ramai untuk memberi maklumat bagi mengesan dua lagi anggota kumpulan itu yang masih bebas iaitu M. Indra atau dikenali sebagai Sri, 26, beralamat di 6D Jalan A, Selayang Baru, Baru Caves, Selangor.
Turut dicari ialah K. Mahendran atau Magen, 28, yang mempunyai alamat terakhir di No. 1285, Jalan 43, Selayang Baru, Batu Caves, Selangor.

'via Blog this'

Golkar tentang pada saat akhir

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Sebuah kereta polis rentung dibakar mahasiswa semasa protes membantah kenaikan harga minyak di Jakarta, kelmarin. - REUTERS


JAKARTA 30 Mac - Rancangan menaikan harga minyak di Indonesia yang penuh kontroversi berada dalam kedudukan bahaya hari ini selepas parti gabungan kerajaan kedua terbesar, Parti Golkar menentangnya pada saat-saat akhir.
Kira-kira 3,000 penunjuk perasaan berhimpun di luar Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) ketika anggota dewan bersidang berhubung cadangan untuk menaikkan satu pertiga harga minyak subsidi di negara ini.
Dengan parti gabungan kerajaan memegang majoriti kerusi, DPR sebelum ini dijangka bersetuju dengan pemotongan subsidi ke atas bahan bakar itu, sesuatu yang disifatkan kerajaan sebagai tidak dapat dielakkan.
Namun selepas bantahan berminggu-minggu termasuk yang bertukar ganas, Parti Golkar menarik balik sokongannya lewat semalam sambil menyatakan subsidi perlu dikekalkan walaupun harga minyak global mencecah AS$100 (RM307) setong.
"Pada awalnya Parti Golkar memahami cadangan kerajaan itu, tetapi selepas rakyat bersuara, kami telah diingatkan tentang kemahuan mereka dan membuat beberapa kajian semula," kata Timbalan Ketua DPR Golkar, Ahmadi Noor Supit ketika perbahasan.
Selama beberapa minggu, parti gabungan kerajaan yang diketuai oleh Parti Demokratik sepakat mengenai rancangan untuk menaikkan harga minyak daripada Rupiah 4,500 seliter (RM1.60 seliter) kepada Rupiah 6,000 (RM2.15).
Bagaimanapun penentangan daripada Golkar bermakna terdapat lebih ramai anggota DPR menentang rancangan kenaikan harga minyak itu.
Sementara itu, penunjuk perasaan di luar DPR menyekat jalan masuk ke jalan bertol selama beberapa jam sambil memegang sepanduk tertera perkataan 'Kenaikan harga minyak bermakna kegagalan SBY', merujuk kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
"Kami akan terus menyekat laluan ini sehinggalah DPR mencapai keputusan bahwa kerajaan tidak akan menaikkan harga minyak," kata anggota kesatuan sekerja, Supriadi.
Polis hari ini meningkatkan jumlah anggotanya yang berkawal di jalan-jalan raya sekitar Jakarta dua kali ganda kepada kira-kira 40,000 anggota masuk tentera, selepas tunjuk perasaan bertukar menjadi ganas semalam. - AFP

'via Blog this'

Derita dirasuk 40 kali sehari

myMetro | Derita dirasuk 40 kali sehari:

KOTA BHARU: “Ketika dirasuk, saya pernah memanjat pokok ubi kayu di belakang rumah seperti kera dan anehnya batang pokok itu tidak patah,” kata Suhaini Abdul Aziz, 30, yang menderita terkena sihir sejak Oktober tahun lalu.
Suri rumah itu juga mengakui pernah cuba mencekik anaknya sendiri, terjun tingkap dan berlari keluar meninggalkan rumah selain menyembah barangan berwarna kuning serta meracau dalam bahasa Siam, malah berperwatakan seperti orang tua. 
Katanya, masalah misteri itu berlaku selepas 40 hari ibunya meninggal dunia pada Oktober tahun lalu dan selepas berkahwin dengan suami baru sebelum berlarutan sehingga kini.

“Sejak disihir, apabila ada ‘benda’ memasuki badan, saya hanya mampu bercakap di dalam hati kerana dikunci di dalam, seolah-olah dikawal seseorang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mani, Kuala Besar, di sini.

Menurutnya, sebelum dirasuk dia boleh merasa beberapa tanda awal sebelum mendakwa ada ‘benda’ misteri yang akan memasuki tubuhnya.

'via Blog this'

3 pekerja lombong maut

myMetro | 3 pekerja lombong maut: "SRI AMAN: Tiga pekerja lombong arang batu warga China maut, manakala tujuh lagi cedera parah apabila terkena serpihan batu yang diletupkan dalam kejadian di Abok di sini, petang semalam.

Difahamkan, kejadian kira-kira jam 4 petang ketika kerja meletup arang batu berkenaan dilakukan menyebabkan serpihan batu terkena kebanyakan mangsa lingkungan 30-an itu.


Menurut sumber, mangsa yang belum dikenal pasti identiti itu meninggal dunia di hospital.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serian untuk bedah siasat, manakala tujuh lagi rakan dibawa ke sebuah pusat perubatan berdekatan untuk rawatan lanjut.


“Semua mangsa adalah warga China. Kejadian berlaku begitu pantas menyebabkan mangsa gagal menyelamatkan diri,” katanya."

'via Blog this'

Pemandu wanita langgar mati penunggang motosikal

myMetro | Pemandu wanita langgar mati penunggang motosikal:

JEDDAH: Seorang wanita semalam mengaku memandu kereta yang melanggar seorang penunggang motosikal, menyebabkan mangsa terbunuh.
Timbalan Pengarah Polis Trafik Jeddah, Brigadier Hamid Al-Raqeeb berkata, wanita itu menyerah diri dan mengaku menyebabkan kematian Muhammad Mansi yang meninggal dunia di tempat kejadian.

Wanita dilarang memandu di Arab Saudi.
Polis membebaskannya dengan ikat jamin dan akan mula menyiasat kes itu beberapa hari lagi.

Dalam kejadian itu, wanita terbabit memandu dengan laju sebuah kereta Kia dan melanggar Muhammad. Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak beberapa meter.

Wanita itu bagaimanapun tidak memberhentikan keretanya. Keluarga Muhammad berkata, mereka tidak akan memaafkan wanita berkenaan. - SG

'via Blog this'

MMS pelacur Timur Tengah

myMetro | MMS pelacur Timur Tengah:

BUKTI...Danny menunjukkan antara MMS yang dihantar  sindiket pelacur Timur Tengah.
BUKTI...Danny menunjukkan antara MMS yang dihantar sindiket pelacur Timur Tengah.
IPOH: Rupa paras persis artis Barat, bulu mata lentik dan bertubuh langsing menjadi modal kepada sindiket pelacuran untuk menawarkan wanita Timur Tengah kepada pelanggan di negara ini menggunakan SMS dan MMS.
Kumpulan wanita Timur Tengah dari pelbagai negara ini, termasuk Syria, Iran, Yaman dan Maghribi bergerak dari bandar ke bandar bergantung kepada tempahan pelanggan.
Rata-rata wanita yang diletakkan pada gred 1 itu yang masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial menawarkan khidmat seks kepada lelaki tempatan yang sanggup membayar harga tinggi sehingga RM1,000 bagi sekali perkhidmatan.

Perkara ini didedahkan beberapa lelaki tempatan yang pernah mendapatkan khidmat mereka yang disifatkan unik walaupun perlu mengeluarkan modal besar.

Seorang eksekutif bank yang mahu dikenali sebagai Danny, 30, mendakwa menerima kiriman MMS dipercayai dihantar ke telefon bimbitnya oleh sindiket pelacuran tempatan yang menguruskan pelacur Timur Tengah.

'via Blog this'

Angkara peragut bermotosikal

myMetro | Angkara peragut bermotosikal:

KOTA BHARU: “Walaupun motosikal sedang bergerak, peragut itu masih sempat menghulurkan tangan untuk mengambil beg tangan dalam raga motosikal menyebabkan motosikal ditunggang hilang kawalan lalu terjatuh,” kata Siti Esah Mohd Noor, 33, yang trauma selepas menjadi mangsa ragut dalam kejadian di Kampung Chepa, dekat sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Siti Esah bersama rakannya, Rokiah Salleh, 53, menunggang motosikal dari rumahnya di Pasir Tumboh ke Pengkalan Chepa.

Menurutnya, dia tidak menyangka peragut terbabit sanggup berbuat apa saja untuk melarikan beg tangannya.
Katanya, dia pada mulanya tidak sedar ketika dihampiri seorang lelaki hingga ternampak tangan yang mencapai begnya. “Saya tidak sedar ada seorang lelaki menunggang motosikal menghampiri sehingga tiba-tiba dia mencapai beg dalam raga motosikal.

“Saya tidak melawan kerana menunggang motosikal sebelum gagal mengawal lalu terjatuh. Akibatnya, saya luka teruk dan lebam di beberapa bahagian badan manakala rakan pula luka ringan,” katanya.

Terdahulu, Siti Esah menerima kunjungan Ketua Puteri Umno Kubang Kerian, Azlinda Alis yang melawat dan bertanya khabar.
Siti Esah berkata, walaupun cedera, dia bersyukur kerana berjaya mendapatkan semula beg tangannya yang mengandungi wang tunai RM300 dan sebuah telefon bimbit selepas peragut terbabit terbabas dan jatuh sebelum melarikan diri.

Sementara itu, Azlinda berkata, pihaknya kesal dengan kejadian ragut itu dan memohon polis mempertingkatkan rondaan di sekitar kawasan berkenaan.

'via Blog this'

Bebas 10 tuduhan

myMetro | Bebas 10 tuduhan:

SHAH ALAM: “Syukur Alhamdulillah. Keadilan berpihak kepada saya,” kata bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Abdul Hanan Alang Endut, 60, selepas Mahkamah Sesyen di sini, melepas dan membebaskannya daripada 10 tuduhan rasuah berjumlah RM59,390.60.
Sambil melahirkan rasa gembira di atas keputusan itu, Abdul Hanan dilihat sedikit emosi ketika dihampiri ahli keluarga termasuk isteri, Datin Norihan Ahmad, 59, selepas selesai prosiding semalam. Bagaimanapun katanya, beliau sedar ada kemungkinan pihak pendakwaan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi. Terdahulu, Hakim M Bakri Abd Majid, membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Hanan.

Sepanjang perbicaraan pada peringkat kes pendakwaan, 24 saksi tampil memberi keterangan.
Mengikut pertuduhan, Abdul Hanan didakwa menerima suapan iaitu cek kosong milik pemilik sebuah syarikat, Adam Omar sebagai ganjaran meluluskan permohonan ‘TechnoFund’ daripada Global Goodway (M) Sdn Bhd di Jalan 17/21 Seksyen 17, Petaling Jaya, antara 1 hingga 15 Disember 2009.

Beliau dituduh menggunakan cek itu antara 15 Disember 2008 hingga 27 Februari 2009 untuk membuat bayaran pembaikan rumahnya bernilai RM15,024 dan membayar zakat pendapatannya pada 2008 berjumlah RM25,000.

Abdul Hanan juga dituduh menggunakan cek berkenaan untuk menjelaskan bil kad kredit, cukai taksiran, cukai tanah, caj perkhidmatan, bil air dan memasukkan wang ke dalam akaun isterinya yang keseluruhannya membabitkan RM59,390.60.
Bagi setiap pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dihukum di bawah Seksyen 16 Akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. Pada prosiding semalam, Abdul Hanan diwakili peguam Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah, Badrul Munir Bukhari dan Sarah Abishegam.
Sementara itu, M Bakri pada penghakimannya berkata, adalah tidak selamat untuk memutuskan cek diterima Abdul Hanan sebagai rasuah kerana ia lebih kepada pinjaman.

Katanya, ada perjanjian bertulis berhubung pemberian 10 cek itu apabila Abdul Hanan membayar pinjaman berkenaan selepas beliau pencen dan mendapat gratuiti.

Selain itu katanya, pemberian 10 cek itu yang dapat dikesan antara lain menjadi bukti ia bukan rasuah.

'via Blog this'

Nyawa kalis peluru

myMetro | Nyawa kalis peluru:

TELUK INTAN: Seorang tauke ayam terselamat daripada maut buat kali kedua apabila tembakan dipercayai dilepaskan pembunuh upahan hanya mencederakan pipinya dalam kejadian berhampiran rumahnya di Hutan melintang di sini, awal pagi semalam.
K Sooria Theymudu, 40, sebelum ini pernah cedera di pergelangan tangan ditembak seorang lelaki di hadapan rumahnya di Jalan Feri, Simpang Empat, di sini, pada 20 Oktober tahun lalu. Semalam, dia sekali lagi bernasib baik apabila tembakan dalam serangan mendadak jam 6.30 pagi itu hanya melukakan pipinya walaupun ditembak bertalu-talu oleh penjenayah dari jarak dekat.

Bagaimanapun, serangan semalam meragut nyawa pekerjanya, warga Bangladesh, Md Masum Sheik Md Surat Ali, 30, apabila tembakan mengenai bahu dan perut lelaki itu menyebabkannya maut di tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Mohd Zaki Harun berkata, kejadian berlaku ketika Sooria dan pekerjanya menaiki van dari rumah ke Taman Seri Bernam di sini, untuk mengambil seorang lagi pekerja yang tinggal di taman berkenaan.

Beliau berkata, seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba keluar dari sebuah kereta dan melepaskan tiga das tembakan ketika van dipandu Sooria memasuki taman berkenaan.

“Satu daripada tembakan itu mengenai pipi Sooria manakala dua das lagi tembakan mengenai perut serta baru pekerja warga Bangladesh itu.
“Sebaik melepaskan tembakan suspek melarikan diri dengan kereta. Lelaki Bangladesh itu mati di tempat kejadian manakala Sooria cedera di pipi,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan (HTI) untuk dibedah siasat manakala Sooria dirawat di hospital sama.
“Polis kini memburu penjenayah terbabit dan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mereka yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintanden Sanusi Salleh di talian 05-6299222 atau balai polis berhampiran,” katanya.

'via Blog this'

Kes remaja dakwa diculik dianggap selesai

myMetro | Kes remaja dakwa diculik dianggap selesai:


SHAH ALAM: Kes seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang mendakwa bersama lima rakannya warga Myanmar diculik sebelum ditemui di Thailand baru-baru ini, dianggap selesai selepas kertas siasatan dihantar ke Bahagian Pendakwaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Mazlan Othman berkata, polis masih menunggu jawapan daripada Bahagian Pendakwaan kes berkenaan.

Mazlan berkata, polis menjalankan siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 366, Kanun Keseksaan iaitu menculik untuk tujuan pelacuran atau melakukan persetubuhan luar nikah.
Namun, katanya, siasatan mengikut seksyen berkenaan mungkin dipinda berdasarkan keputusan Bahagian Pendakwaan.

Lelaki sepak polis dicekup

myMetro | Lelaki sepak polis dicekup:

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki disyaki terbabit dalam kejadian menyepak seorang anggota polis yang menunggang motosikal hingga hilang kawalan dan terbabas ke pembahagi jalan berhampiran jambatan Permas Jaya, Isnin lalu, ditahan di rumahnya di Flat Seri Stulang di sini, jam 12 tengah hari, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya menjalankan siasatan menyeluruh sebaik selepas kejadian berlaku.

Katanya, dalam kejadian itu penunggang motosikal Honda EX5 berkenaan cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Jalan Sutera, Taman Sentosa di sini. “Susulan kejadian itu, kami menjalankan siasatan di beberapa kawasan sebelum memperoleh maklumat sahih pelaku berkenaan.
“Berikutan itu, kami melakukan intipan sebelum menahan lelaki berkenaan di rumahnya di Flat Seri Stulang di sini, bagi membantu siasatan.

“Kami akan menjalankan siasatan menyeluruh kerana dia bukan saja melakukan kesalahan cuba melarikan diri ketika sekatan jalan raya malah bertindak biadab menyepak anggota kami.

“Siasatan awal mendapati, suspek bekerja buruh dan semakan rekod lampau mendapati dia tiada sebarang rekod jenayah manakala motosikal ditunggangnya adalah miliknya,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.
Zainuddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 333 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihaknya akan memohon tahanan reman bagi membantu siasatan.

“Kami memandang serius kes ini kerana suspek menyebabkan seorang anggota cedera parah,” katanya.

'via Blog this'

Bapa tiri durjana

myMetro | Bapa tiri durjana:

KOTA KINABALU: Seorang bapa warga asing bukan saja bertindak merogol anak tirinya berusia 15 tahun, malah cuba membunuhnya dengan menusuk kemaluan dan mengelar leher mangsa menggunakan pelepah kelapa sawit dan cuba menghumbannya ke dalam sungai di Inanam, di sini.
Namun, dalam kejadian jam 9.30 pagi pada 23 Mac lalu, mangsa bernasib baik apabila ditemui dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ oleh orang ramai sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan. 
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan M Chandra berkata, polis menerima panggilan daripada penduduk mendakwa menemui seorang gadis dalam keadaan lemah sebelum sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, soal siasat mendapati mangsa dirogol bapa tirinya berusia 34 tahun sebelum bertindak cuba membunuhnya.

“Bukan itu sahaja, suspek berusia 34 tahun bertindak kejam apabila memasukkan objek ke dalam kemaluan mangsa sebelum membiarkan mangsa terbaring dalam keadaan tidak bermaya di tebing sungai.

“Mujur ada penduduk tempatan menemui mangsa dalam keadaan terbaring sebelum menghubungi polis,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, di sini, semalam. 

'via Blog this'

Mayat mangsa ditemui

myMetro | Mayat mangsa ditemui:

SRI AMAN: “Mujurlah mayat ibu ditemui dalam keadaan sempurna. Sejak dilaporkan hilang, kami gelisah kerana bimbang ibu dimakan buaya atau sebagainya,” kata Alexson Inggam Jantan, 15, sebaik dimaklumkan mayat ibunya, Embang anak Bunyam, 48, ditemui pagi semalam.
Katanya, keluarganya dimaklumkan mengenai penemuan itu kira-kira jam 11.15 pagi sebelum bergegas ke lokasi berkenaan untuk membuat pengecaman.

“Kami terima pemergian ibu sebagai suratan takdir walaupun ia terlalu sukar untuk menerimanya. Kami sedih dan kecewa kerana gagal menyelamatkan ibu pada hari kejadian,” katanya.
Mayat Embang dari Rumah Japar Anssam, Sinjur Undop, Sri Aman yang dikhuatiri lemas di kawasan Sungai Sinjur, Sri Aman sejak petang Rabu lalu ditemui terapung kira-kira 300 meter dari pangkalan rumahnya oleh sepasukan anggota mencari dan menyelamat selepas dilaporkan hilang.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, Embang dilaporkan lemas selepas perahu dinaiki bersama dua anaknya, Inggam dan Bradney, 12, terbalik akibat dipukul ombak besar di sungai berkenaan.

Tragedi itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai mengerjakan sawah di seberang sungai sebelum dipukul ombak akibat angin kencang.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila perahu dinaiki tiga beranak itu dimasuki air sebelum terbalik namun dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing.

Pada masa sama, dua beradik terbabit hanya mampu melihat ibunya terkapai-kapai kelemasan namun tidak mampu menghulurkan bantuan berikutan mereka juga hampir lemas.
Polis yang menerima laporan itu menggerakkan operasi mencari dan menyelamat dengan bantuan 14 anggota dan tiga bot Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) selain dibantu Polis Marin Kuching.

Bagaimanapun, operasi terpaksa dihentikan jam 6 petang hari kejadian berikutan cuaca tidak mengizinkan dan disambung semula keesokan hari.

Sementara itu, jurucakap polis ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, mayat mangsa ditemui tanpa sebarang tanda gigitan buaya sebelum dihantar ke Hospital Sri Aman bagi untuk bedah siasat.

'via Blog this'

‘2 kereta saya tenggelam’

myMetro | ‘2 kereta saya tenggelam’: "KLANG: “Saya tidak sangka hujan lebat diselangi bunyi guruh kuat awal pagi semalam menyebabkan banjir kilat yang teruk di kawasan perumahan sehingga mengakibatkan dua kereta saya ditenggelami air.

“Air naik cepat selain mengalir deras menyebabkan saya tidak sempat berbuat apa-apa serta melihat kawasan sekeliling rumah dinaiki air,” kata Mohd Azhar Mat, 42, penduduk apartmen Bayu Perdana, di sini, mengenai banjir kilat, semalam.


Sementara itu, seorang pemilik kedai aksesori kereta di Jalan Batu Unjur 8, di sini, kerugian kira-kira RM200,000 selepas kedainya ditenggelami air dalam kejadian sama dan memusnahkan kebanyakan aksesori di ruang pameran.

Pemilik kedai, Kiu Kwang Hui, 32, mendakwa mula menyedari kedainya dinaiki air kira-kira paras lutut, pada jam 5 pagi."

'via Blog this'

Polis dituduh peras ugut suri rumah

myMetro | Polis dituduh peras ugut suri rumah: "DUBAI: Seorang anggota polis dituduh memeras ugut Dh3.67 juta daripada seorang suri rumah selepas mengancam menyiarkan gambar dan rakaman video mengenai kehidupan peribadi wanita itu menerusi Internet.

Pendakwa raya menuduh polis warga Emiriah berusia 30 tahun itu, SS, mengancam memalukan mangsa dengan mencemarkan reputasinya.


SS yang berpangkat koporal juga menghadapi tuduhan menceroboh kehidupan peribadi suri rumah itu dan secara sulit merakam gambar dan video di dalam rumah mangsa.

Adiknya berusia 23 tahun, NS, dan seorang warga Mesir berusia 29 tahun, MM, dituduh bersekongkol dengannya. - GN"

'via Blog this'

Duta AS hairan sentiasa diekori

Berita Harian Online | Duta AS hairan sentiasa diekori:

Michael McFaul, Duta Amerika Syarikat ke Russia.
Michael McFaul, Duta Amerika Syarikat ke Russia.
Michael McFaul syak e-mel, perbualan telefon dicuri dengar di Russia

MOSCOW: Duta Amerika Syarikat ke Russia, Michael McFaul bingung bagaimana stesen televisyen prokerajaan Russia mengetahui setiap pergerakannya hingga menyebabkan beliau syak bahawa komunikasi menerusi e-mel dan perbualan telefonnya dicuri dengar.
Dalam beberapa kenyataan ringkas menerusi Twitter kelmarin, McFaul menjelaskan, beliau bertemu kru televisyen NTV ke mana saja beliau pergi.

Duta anda di negara kami bebas ke mana-mana, tiada campur tangan dalam urusannya. Anda pula bersama saya ke mana saja, ini sesuatu yang menarik persoalan. Tidakkah anda malu melakukan perkara ini? Tindakan anda memalukan negara. - McFaul apabila menjawab soalan pemberita NTV
“Menghairankan. Siapa yang memberi jadual perjalanan saya? Mereka juga tidak beritahu saya. Apa tindakan undang-undang bagi perkara seperti ini?” tulisnya.

Dalam mesej lain, beliau mempersoalkan: “Adakah mereka mempunyai hak membaca e-mel dan mendengar perbualan telefon saya?”

NTV yang dimiliki syarikat monopoli gas asli negara itu bulan ini menyiarkan dokumentari menuduh peserta bantahan antikerajaan Russia baru-baru ini adalah ejen yang mendapat upah Amerika.

Jurucakap NTV berkata, kru televisyen itu tahu ke mana saja McFaul pergi ‘menerusi maklumat daripada ramai pemberi maklumat’, lapor agensi berita Interfax. 
Kelmarin, stesen televisyen terbabit menyiarkan video mengenai McFaul dan pemberitanya berdebat sebaik duta itu tiba pada mesyuarat dengan aktivis hak asasi kemanusiaan Russia, Lev Ponomarev.

Klip selama lima minit itu menunjukkan pemberita NTV menghujani beliau dengan soalan mengenai mesyuarat itu dan ketika menjawab, McFaul bertanya mengapa mereka mengikutinya.

“Duta anda di negara kami bebas ke mana-mana, tiada campur tangan dalam urusannya. Anda pula bersama saya ke mana saja, ini sesuatu yang menarik persoalan.

“Tidakkah anda malu melakukan perkara ini? Tindakan anda memalukan negara,” kata McFaul sambil tersenyum sinis.

Beliau kemudian bertanya kepada pemberita terbabit, bagaimana mereka mengetahui setiap lokasi dikunjunginya tetapi tidak dijawab pemberita NTV. Kerajaan seperti Amerika Syarikat dan Russia amat mengambil tahu setiap pergerakan pegawai mereka.

McFaul sebelum ini mendapat sindiran tajam daripada media tempatan dan pihak lain. Sebaik memulakan tugas pertengahan Januari lalu, televisyen Channel One menyiarkan program menyifatkannya sebagai ‘pakar dalam mempromosi demokrasi’ dan datang ke Russia untuk menaja ‘revolusi’. – AP
'via Blog this'

Dua beranak didakwa pecah amanah

Kosmo! Online - Negara:


KUALA LUMPUR – Seorang peguam dan anaknya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 12 tuduhan pecah amanah dan bersubahat melibatkan wang berjumlah RM12 juta milik Tabung Amanah Orang Asli suku Jakun Lembah Linggui, Johor 12 tahun lalu.
Tertuduh S. Kanawagi, 67, dan anaknya, Dinesh Keravagi, 34, juga seorang peguam mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahmud Abdullah.
Pada 31 Julai 2011, Kanawagi dihukum penjara enam tahun dan denda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah memalsukan keterangan dan surat kuasa wakil ketika mengendalikan satu kes pemindahan hak milik hartanah di Mahkamah Tinggi Sivil pada 15 tahun lalu.
Namun tertuduh belum menjalani hukuman itu dan berada dalam jaminan mahkamah selepas hukuman penjara tersebut dibenar untuk penangguhan sehingga rayuan selesai di Mahkamah Tinggi.

'via Blog this'

Bekas KSU mosti bebas rasuah

Kosmo! Online - Negara:



Abdul Hanan ditemani Norihan gembira selepas Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam melepas dan membebaskannya daripada tuduhan rasuah.


SHAH ALAM - Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Abdul Hanan Alang Endut semalam dilepas dan dibebas oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada 10 pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM59,390.60 tanpa dipanggil membela diri.
Hakim M.Bakri Abdul Majid membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Hanan, 60, yang didakwa menerima wang suapan di No. 25, Jalan 17/21, Seksyen 17, Petaling Jaya dari 1 hingga 15 Disember 2008 dalam bentuk cek-cek kosong (tanpa jumlah dan tarikh) United Overseas Bank milik Adam Omar sebagai ganjaran kerana meluluskan permohonan dana oleh Global Goodway (M) Sdn. Bhd.
Dia kemudian didakwa menunaikan cek-cek yang diterimanya dari 15 Disember 2008 hingga 27 Februari 2009 bagi tujuan pembaikan rumah berjumlah RM15,024, pembayaran zakat pendapatan berjumlah RM25,000, kad kredit berjumlah RM9,275, cukai taksiran bagi tiga premis sebanyak RM1,542.60, cukai tanah di Mukim Sungai Raya sebanyak RM15 dan mendepositkan RM8,000 ke 

'via Blog this'

Tujuh penyamun kondo tumpas

Kosmo! Online - Negara:




MOHMAD (kiri) menunjukkan barang-barang yang dirampas daripada tujuh penyamun di kondominium mewah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR – Angkara silap memilih kondominium untuk disamun, kegiatan tujuh penjenayah termasuk dua wanita yang sebelum ini aktif melakukan jenayah berakhir apabila mereka ditahan dalam dua serbuan di ibu negara dan Klang baru-baru ini.
Dalam serbuan pertama pada pukul 9 pagi, 16 Mac lalu, polis menahan empat lelaki dan seorang wanita di sebuah rumah dekat Taman Berkelay, Klang.
Serbuan kedua pada pukul 12.30 tengah hari 21 Mac lalu pula, polis menahan dua lagi suspek termasuk seorang wanita.
Tangkapan ketujuh-tujuh suspek itu dilakukan selepas polis menerima laporan pecah rumah melibatkan sebuah unit kondominium mewah di Mont Kiara di sini pada pukul 6.30 petang 11 Mac lalu.

'via Blog this'

Friday, March 30, 2012

924 kilogram gula dirampas berhampiran sempadan

Utusan Malaysia Online - Jenayah:





KUCHING 29 Mac - Cubaan sindiket yang mahu menyeludup gula bersubsidi ke negara jiran dengan menjadikan sebuah rumah kosong berhampiran sempadan sebagai transit menyimpan bekalan tersebut berjaya dipatahkan dalam satu serbuan di sebuah perkampung di Tebedu, dekat Serian semalam.


Modus operandi kumpulan tersebut dihidu oleh pihak polis hingga membawa kepada satu serbuan di kediaman berkenaan dan merampas sejumlah 924 kilogram gula dengan nilai keseluruhan RM2,217.


Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, serbuan dilakukan pada pukul 11 pagi semalam selepas polis memaklumkan kepada pihak kementeriannya mengenai penemuan gula yang disorok di sebuah rumah kosong, namun tiada suspek yang diberkas.


Menurutnya, bekalan gula bersubsidi itu terlebih dahulunya disorok di rumah kosong berkenaan sebelum dipercayai diseludup ke negara jiran dengan menggunakan sebuah kenderaan seperti lori pengangkut ais selain menggunakan permit import gula bagi mengelirukan pihak berkuasa di sempadan.


"Mereka cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan mengemukakan permit gula import untuk membawa masuk gula bersubsidi berkenaan ke negara jiran dan dijual pada harga RM3.80 bagi setiap kilogram.


"Kita juga akan melakukan siasatan terhadap pemilik tanah di mana lokasi rumah kosong itu diserbu bagi memperoleh maklumat lanjut mengenai dalang sindiket terbabit," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.


Dalam pada itu, Wan Ahmad Uzir memberitahu, kejayaan itu merupakan rampasan terbesar gula bersubsidi pada tahun ini hasil kerjasama dengan agensi penguat kuasa yang lain iaitu polis.


Katanya, selain bekalan gula, sindiket seumpama itu dipercayai turut berminat menyeludup bekalan tepung serta gas memasak silinder, tidak seperti di kawasan Semenanjung yang lebih gemar menyeludup minyak petrol RON95.


''Berdasarkan pemantauan, kita mendapati jualan minyak petrol RON95 di stesen minyak yang berhampiran sempadan Tebedu itu adalah rendah, mungkin disebabkan faktor kenderaan yang kurang di kawasan berkenaan atau sindiket kurang berminat untuk menyeludup bahan itu," ujarnya.


'via Blog this'

Mini kasino terbesar tumpas

Utusan Malaysia Online - Jenayah:











Sebahagian kaki judi yang ditahan di sebuah lokasi haram di tengah hutan Kampung Batak, Sungai Ara, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang, semalam.





PULAU PINANG 29 Mac - Satu sindiket judi haram ala kasino dikesan menjalankan operasi mereka di tengah-tengah hutan di Kampung Batak, Sungai Ara di sini bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.


Malah, kedudukan pusat judi itu yang dikelilingi kebun sayur dan tersorok di belakang sebuah bengkel kereta membuatkan ia sentiasa menjadi tumpuan para kaki judi setiap malam.


Untuk sampai ke lokasi perjudian itu, pengunjung perlu menyeberang sungai dengan menggunakan jambatan dan bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa, setiap simpang masuk ke lokasi itu dipasang dengan kamera litar tertutup (CCTV).


Bagaimanapun, intipan yang dilakukan pihak polis sejak tiga hari lalu membuahkan hasil apabila pusat judi itu diserbu tanpa disedari pengusahanya.


Dalam serbuan yang dilakukan pukul 9.30 malam tadi, seramai 63 kaki judi termasuk 17 wanita berusia antara 30 hingga 70 tahun yang sedang leka berjudi berjaya ditahan.


Polis turut merampas wang tunai RM45,000 dan peralatan judi seperti cip yang bernilai RM65,000.


Kejayaan ini merupakan serbuan lokasi judi haram yang terbesar pernah dilakukan di negeri ini oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.


Ketua Unit Pencegahan Perjudiannya, Deputi Supritendan Tan Tin Heng berkata, pihaknya terpaksa mengambil masa tiga hari sebelum membuat serbuan berikutan kawasan berkenaan dikawal ketat oleh tonto yang diupah bagi memantau kehadiran pihak berkuasa.


Selain risikan, ujarnya, serbuan yang disertai seramai 10 pegawai dan anggota itu dibuat berdasarkan maklumat daripada orang awam.


"Penganjur kegiatan haram ini sangat licik kerana mereka menjalankan operasi jauh dari penempatan penduduk. Premis ini agak terlindung dari pandangan umum menyebabkan ia menjadi lokasi perjudian yang sangat strategik," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.


Tin Heng berkata, setiap pertaruhan mampu mencecah sehingga RM250,000, malah ada di antara kaki judi sanggup menggadaikan barang berharga semata-mata mahu meneruskan permainan setelah kehabisan wang tunai.


Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut.


Kes ini disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.


'via Blog this'

Kediaman tinggi sarang penjenayah

Utusan Malaysia Online - Jenayah:











TUN Hisan Tun Hamzah (depan, tengah) melawat dan berbual-bual dengan penduduk, Zainal Mat Hashim pada majlis pelancaran Vertical Policing di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara, Puchong, Selangor, semalam. - UTUSAN/wahidin salim





PETALING JAYA 29 Mac - Polis mendapati kebanyakan penjenayah terutama sindiket pengedaran dadah lebih gemar memilih bangunan kediaman tinggi untuk menjalankan kegiatan haram mereka bagi mengelak daripada dikesan.


Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, bangunan kediaman seperti kondominium, pangsapuri dan flat sering menjadi sarang penjenayah kerana sikap segelintir penghuninya yang jarang mahu mengambil tahu tentang urusan jiran tetangga.


Beliau berkata, disebabkan keadaan itu, premis kediaman ini menjadi pilihan sindiket untuk mengedar dan membina makmal mini memproses dadah, menyimpan hasil barang-barang curi dan samun, tempat simpanan pelacur warga asing, operasi pusat perjudian dan jenayah komersial.


"Sepanjang tahun lalu, kita sudah membongkar lima makmal mini memproses dadah dan membuat 139 tangkapan terhadap pelbagai kesalahan berkaitan dengan dadah dalam kondominium.


"Semua kejayaan ini adalah hasil risikan polis sendiri kerana tiada penghuni tampil memberi maklumat walaupun mungkin mereka juga curiga terhadap kegiatan jiran sebelum itu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Vertical Policing di Dewan Serbaguna Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara 6, Puchong dekat sini hari ini.


Menurut Tun Hisan, program Vertical Policing atau kepolisan naik ke atas yang diperkenalkan hari ini diharap dapat mengatasi masalah jenayah di kawasan bangunan kediaman tinggi di seluruh negeri ini.


Beliau berkata, melalui program ini, ketua polis daerah akan turun padang memberi ceramah kepada pihak pengurusan dan penghuni kediaman untuk mendidik mereka tentang cara-cara mengesan kegiatan jenayah dan bagaimana mahu menyalurkan maklumat kepada polis.


"Semua penghuni harus menyimpan nombor telefon pengawal keselamatan di kawasan kediaman, mengetahui cara menggunakan aplikasi Mydistress dan talian hotline polis Selangor bagi memudahkan mereka menyalurkan maklumat jika curiga tentang kegiatan jiran-jiran.


'via Blog this'

Kehilangan Nur Aqila bimbangkan keluarga

Utusan Malaysia Online - Jenayah:








NORAZURA Mohd. Arshad menunjukkan laporan polis dan gambar anak perempuannya, Nur Aqila Natasha Zaini (gambar kecil, kanan) di Ibu Pejabat Utusan Melayu, Kuala Lumpur, semalam. Remaja di sebelah Nur Aqila ialah kakaknya, Nur Ain.






KUALA LUMPUR 29 Mac - Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dilaporkan hilang sejak 18 Mac lalu dipercayai berpunca daripada masalah keluarga.


Nur Aqila Natasha Zaini dikatakan tidak pulang ke rumah bapanya di Bandar Tasik Selatan di sini sebelum satu laporan polis dibuat oleh ibunya, Norazura Mohd. Arshad, 38, di Balai Polis Salak Selatan pada Isnin lalu.


Menurut Norazura, kali terakhir dia berjumpa Nur Aqila Natasha adalah pada 17 Mac lalu ketika anak keempatnya itu datang ke rumahnya di Desa Pakar Jalan Sungai Besi.


"Aqila dan abangnya, Asyrul tinggal bersama bekas suami saya di Bandar Tasik Selatan dan akan datang ke rumah saya apabila ada kelapangan.


"Pada hari itu dia datang bersama seorang rakan perempuannya dan pulang semula pada malam hari yang sama.


"Bagaimanapun, saya terkejut apabila keesokan hari dia menelefon memaklumkan dia berada di The Mines dan belum pulang ke rumah bapanya," katanya ketika datang ke ibu pejabatUtusan Malaysia di sini hari ini.


Menurut Norazura yang bekerja sebagai operator kilang, dia kemudian mengarahkan anaknya itu pulang segera ke rumah bapanya namun Aqila tidak berbuat demikian dan menghilangkan diri.


Pada hari itu, katanya, Aqila yang tidak bersekolah kerana kesempitan hidup memakai baju T dan seluar jean biru.


Norazura yang berpisah dengan suaminya, Zaini Mat Dom, 41, sejak Ogos tahun lalu berkata, anaknya itu kerap memberitahu rakannya bahawa dia sering tertekan berikutan perceraian ibu bapanya.


Sehubungan itu, dia meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Aqila supaya menghubunginya di talian 01112820924 atau mana-mana balai polis berhampiran.


'via Blog this'

Lima sindiket dadah warga Afrika tumpas

Utusan Malaysia Online - Jenayah:






NOOR Rashid Ibrahim (tengah) menunjukkan alat ganti kenderaan yang digunakan untuk menyeludup dadah pada sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/IZHAM JAAFAR





KUALA LUMPUR 29 Mac - Lima sindiket dadah antarabangsa didalangi warga Afrika adalah antara enam sindiket yang tumpas dalam beberapa siri serbuan polis di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.


Dalam serbuan itu, polis merampas sejumlah 51.2 kilogram syabu dan 7,728 biji pil ekstasi bernilai RM10.3 juta selain menahan 11 individu iaitu sembilan warga Afrika termasuk dua wanita, serta dua lelaki tempatan.


Kesemua mereka yang ditahan dalam serbuan sejak dua minggu lalu itu berusia antara 20 hingga 48 tahun.


Sindiket pengedaran dadah didalangi warga Afrika dikesan menyeludup masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kebanyakan mereka menggunakan pas pelajar.


Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, dalam dua serbuan pertama pada 20 Mac lalu, polis menahan tiga warga Afrika termasuk dua wanita di sebuah rumah di Taman Alpina, Puchong selain merampas syabu yang disorok dalam dua batang silinder besi.


"Susulan penahanan itu, dua lagi lelaki Afrika ditahan di dua lokasi iaitu sebuah hotel sekitar Subang Jaya dan Puchong, Selangor.


"Dalam serbuan di hotel tersebut, seorang daripada lelaki Afrika itu maut selepas terjatuh dari tingkat dua bangunan tersebut ketika cuba melarikan diri," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.


Dalam serbuan berikutnya, kata Noor Rashid, polis berjaya merampas 53 bungkusan dadah jenis syabu seberat 36.42 kilogram dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara Afrika yang disorok dalam enam batang silinder besi berasingan di tempat menyimpan kargo KLIA.


Bagaimanapun, katanya, tiada tangkapan dibuat kerana tiada individu yang tampil membuat tuntutan.


Dalam pada itu, Noor Rashid memberitahu, tiga kes berikutnya membabitkan lima lelaki warga Afrika menggunakan taktik menelan ketulan dadah bagi menyeludup masuk dadah ke negara ini.


"Dua daripada mereka yang baru tiba di KLIA disahkan telah menelan masing-masing 44 dan 65 ketulan kapsul," katanya.


Beliau berkata, kelmarin, polis berjaya mematahkan satu lagi sindiket dadah didalangi dua lelaki tempatan serta merampas 7.52 kilogram syabu dan 7,728 biji pil ekstasi di hadapan sebuah pangsapuri di Bukit Jalil.


Polis turut merampas sebuah kereta Mercedes-Benz dan Toyota Wish dipercayai milik suspek. Kesemua mereka kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori.


'via Blog this'