Search This Blog

Loading...

Friday, February 3, 2012

Rakyat Malaysia antara pemimpin Abu Sayyaf dibunuh


MANILA 2 Feb. – Tentera Filipina membunuh tiga pemimpin paling dikehendaki daripada kumpulan Abu Sayyaf dan pertubuhan Jemaah Islamiah (JI) dalam serangan ke atas kubu kuat mereka di selatan negara ini, pada subuh hari ini.

Sejumlah 15 militan terbunuh dalam serangan itu, termasuk pemimpin Abu Sayyaf warga Filipina, Umbra Jumdail, rakyat Malaysia bernama Zulkifli bin Hir yang juga dikenali sebagai Marwan, dan warga Singapura, Abdullah Ali alias Muawiyah, kata jurucakap tentera, Kolonel Marcelo Burgos.

Zulkifli dianggap pemimpin kanan dalam JI dan kerajaan Amerika Syarikat (AS) telah menawarkan hadiah berjumlah AS$5 juta (RM15.5 juta) untuk membunuh atau menangkapnya, dan AS$50,000 (RM155,000) bagi penangkapan atau pembunuhan Abdullah.

Burgos berkata, tentera melancarkan serangan awal pagi ini di pekan Parang, Pulau Jolo yang menjadi kubu kuat Abu Sayyaf dan sekutu mereka daripada JI yang berpangkalan di Indonesia.

Umbra yang juga dikenali sebagai Dr. Abu telah banyak kali bolos daripada serangan tentera Filipina dan muncul sebagai tokoh utama dalam Abu Sayyaf.

Kumpulan militan itu didakwa terlibat dalam beberapa serangan pengganas paling dahsyat di Filipina, termasuk serangan bom di dalam sebuah feri di Manila yang membunuh lebih 100 orang, serta banyak insiden penculikan di selatan negara ini.

Abu Sayyaf memberi perlindungan kepada anggota JI di Jolo dan Basilan, termasuk paling kanan antara mereka iaitu Zulkifli dan Abdullah, yang melarikan diri daripada buruan pihak berkuasa di negara masing-masing.

Abdullah melarikan diri ke selatan Filipina sejurus selepas serangan bom di Bali pada 2002, kata pegawai perisikan tentera Filipina.

Sebanyak 600 askar Pasukan Khas AS ditempatkan secara bergilir-gilir di selatan negara ini sejak sedekad lalu untuk membantu melatih askar Filipina memerangi puak militan.

Tentera AS hanya dibenarkan menjadi penasihat kepada askar Filipina dan tidak terlibat dalam pertempuran. – AGENSIUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment