KERETA-SUSPEK
SUSPEK-REMPUH

PUCHONG - Polis memburu seorang lelaki yang bertindak nekad melarikan diri dalam satu kejadian kejar-mengejar menaiki kereta jenis Proton Perdana, di Taman Mawar Kinrara Seksyen 5, di sini, malam kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei ketika dihubungi berkata, seorang rakan suspek berjaya ditahan dan kini polis sedang mengesan jejak lelaki berusia lingkungan 20-an itu.

“Seorang daripadanya berusia 30-an berjaya diberkas dalam kejadian semalam (kelmarin), namun seorang lagi belum dikesan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, dua wanita masing-masing peniaga dan pelanggan cedera apabila kenderaan dinaiki kedua-dua suspek merempuh sebuah gerai di tepi Jalan TK 5/8.

Sumber berkata, kedua-dua lelaki itu melarikan diri daripada pemeriksaan polis dan cuba membolosi diri dengan memasuki perumahan Taman Mawar, di sini.

“Tanpa mengetahui bahawa taman perumahan itu hanya mempunyai satu laluan keluar masuk sahaja.

Akibat pemanduan melulu itu, kenderaan suspek merempuh sebuah gerai yang dipenuhi kira-kira 10 pelanggan dan empat pekerja.

Sumber memaklumkan, bagaikan babak filem, polis mengejar suspek dan mengelilingi sekitar kawasan perumahan sebelum pemandu kereta Proton Perdana itu memecut laju dan ‘terbang’ atas sebuah longkang.

“Insiden itu menyebabkan tayar kereta berkenaan pecah, kedua-duanya bertindak keluar melarikan diri,” katanya.

Dalam kejadian cemas itu, suspek yang melarikan diri dikatakan bersembunyi di bahagian belakang rumah salah seorang penduduk.

Penghuni rumah berkenaan, Norizan Baharom, 39, terkejut melihat seorang lelaki menyorok di bahagian belakang rumahnya.

“Apabila menyedari saya sudah mengetahui kehadi­ran­nya, dia mengacukan pisau dan meminta saya diam.