Search This Blog

Monday, February 27, 2012

Nurul Aien tidak dirogol

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


IPOH 26 Feb. - Polis hari ini mengesahkan kematian seorang pelajar perempuan yang ditemui dalam kolah di bilik air rumahnya di Changkat Jering dekat sini Jumaat lalu, tidak melibatkan serangan seksual.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd. Diah berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat Nurul Aien Mohd. Saimon mendapati mangsa maut akibat lemas.

Menurut beliau, hasil bedah siasat itu juga mendapati, kecederaan belakang kepala mangsa dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.

"Berdasarkan laporan ini, polis percaya mangsa tidak dirogol dalam kejadian tersebut, sebaliknya mangsa mati akibat lemas di dalam kolah.

"Kita percaya semasa kejadian, berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek sehingga mangsa ditekan atau dicampak ke dalam kolah tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, Nurul Aien, 16, ditemui mati dalam kolah di rumahnya di Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering.

Kejadian berlaku ketika mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Wan Ahmad Rasdi, dekat sini bersendirian di rumahnya.

Yusuf berkata, ekoran kejadian itu, polis telah menahan seorang suspek lelaki berusia 18 tahun yang direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

Berdasarkan maklumat awal, kata beliau, polis tidak menolak kemungkinan suspek dan mangsa saling mengenali antara satu sama lain.

"Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian kemungkinan suspek dan mangsa mempunyai hubungan," jelasnya.

Menurut Yusuf, sehingga kini pihaknya masih belum menjumpai senjata yang digunakan untuk memukul mangsa dalam kejadian tersebut.


'via Blog this'

No comments:

Post a Comment