KULIM - Kes curi motosikal dilaporkan semakin meningkat di Kulim dan sehingga kini polis sedang menjejaki individu serta kumpulan yang terlibat dengan jenayah terbabit.

Dari tinjauan dibuat motosikal jenis Honda Ex5 dilaporkan hilang setiap hari dan kawasan di mana ia sering menjadi tumpuan adalah di sekitar kawasan pasar malam, tempat letak motosikal di pasaraya.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, beliau tidak menolak jumlah kehilangan motosikal meningkat berpunca dari permintaan barang alat ganti motosikal yang mahal dipasaran.

Dengan adanya alat ganti dari motosikal curi, mekanik yang menjalankan kegiatan bengkel haram dapat mengurangkan kos baik pulih.

“Mereka akan menjual motosikal dengan harga di antara RM200 hingga RM250 seunit.

“Polis telah mengenal pasti kumpulan terlibat dan pemantauan sedang dijalankan. Tidak sukar untuk polis menjejaki dalang yang melakukan jenayah ini kerana sehingga hari ini polis masih menerima maklumat dari orang awam,” katanya.

Ghuzlan menasihatkan kepada pemilik motosikal supaya jangan meletakkan motosikal mereka ditempat gelap dan jauh dari penglihatan. Pastikan motosikal sentiasa selamat dan dikunci dengan kunci pendua.

Bagaimanapun beliau meminta kerjasama semua pihak supaya melaporkan sebarang jenayah yang berlaku di sekitar dengan segera kepada polis.